Kuala Lumpur: Hanya salah faham. Demikian jawapan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Dr S Shamala berhubung kenyataan ketua jurulatih skuad hoki wanita negara Mohd Nasihin Nubli Ibrahim yang menyatakan hasrat melepaskan jawatan yang disandang sejak 2011 itu.

Jelas Shamala, menerusi perbincangannya dengan Nasihin semalam, bekas penjaga gol itu menegaskan masih menyatakan minat membimbing skuad negara.

“Dia komited untuk terus bersama skuad negara. Mungkin apa yang dinyatakan kepada pihak media adalah salah faham saja.

“Sebab saya sendiri bertanyakan perkara itu kepadanya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas Shamala, kontrak Nasihin sememangnya akan berakhir Disember ini dan sama ada ia akan dilanjutkan atau sebaliknya akan dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan yang dijadual berlangsung selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Tapi saya akui beberapa perkara perlu ditambah baik untuk skuad wanita, contohnya mereka mungkin memerlukan pakar perunding seperti yang disediakan untuk pasukan lelaki,” katanya.

Shamala berkata, secara peribadi beliau berasakan Nasihin berjaya membawa pasukan hoki wanita negara ke satu tahap lebih tinggi sepanjang lima tahun membimbing anak buahnya.

“Sebagai bekas pemain kebangsaan dan pernah beraksi di Sukan Olimpik, dia sentiasa memberikan komitmen tinggi dengan tugasnya,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Nasihin menyatakan pendirian untuk tidak mahu memperbaharui kontraknya yang berakhir Disember depan.

Alasan beliau ialah mahu berhijrah apabila mendapat dua lamaran dari Indonesia dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:04 AM