NICOL DAVID
NICOL DAVID

KUALA LUMPUR: Pemain kesembilan dunia, Nicol David akan berdepan Joshna Chinappa dari India di pusingan kedua Terbuka Skuasy Antarabangsa El Gouna di Mesir, esok.

Nicol yang juga pilihan kelapan kejohanan, mendapat tentangan sengit sebelum menewaskan wakil tuan rumah, Zeina Mickawy dalam tempoh 32 minit dengan catatan 2-10, 11-2, 9-11, 11-2 di Kompleks Sukan El Gouna.

Joshna yang juga pilihan ke-16, terpaksa bekerja keras sebelum menumbangkan pemain ‘wildcard’ Rowan Elaraby (Mesir) dengan keputusan 8-11, 11-8, 14-12, 11-4 dalam tempoh 39 minit.

Nicol melahirkan kegembiraannya atas persembahan ketika menentang Zeina yang pertama kali ditemuinya.

“Permulaan yang baik untuk saya menewaskan pemain berbakat (Zeina) dengan keputusan 3-1," jelas pemain negara berusia 34 tahun itu menerusi Instagram miliknya.

“Kali pertama beraksi menentang Zeina dan kekal tenang untuk melakar kemenangan.”

Nicol yang meraih emas Sukan Komanwel 2010 dan 2014, mengharungi aksi mengecewakan pada temasya Gold Coast 2018 baru-baru ini.

Dia menamatkan saingan tanpa sebarang pingat apabila tewas kepada lawan dari New Zealand, Joelle King di separuh akhir selain tewas dalam aksi penentuan gangsa menentang lawan dari Wales, Tesni Evans.

Turut beraksi di Mesir adalah S Sivasangari yang mengharungi aksi kelayakan, bertemu wakil tuan rumah yang juga pilihan kedua, Raneem El Welily awal pagi nanti (2 pagi waktu Malaysia).

Nafiizwan Adnan yang turut layak ke pusingan pertama, tewas kepada lawan dari Mesir, Mohamaed El Shorbagy 11-5, 11-8, 11-9 pada aksi lelaki, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 1:32 AM