PEMAIN PSG meraikan kemenangan ke atas Caen. -Foto AFP
PEMAIN PSG meraikan kemenangan ke atas Caen. -Foto AFP
AFP

KYLIAN Mbappe meledak dua gol dan Christopher Nkunku menambah jaringan lewat ketiga ketika Paris Saint-Germain mara ke final Piala Perancis hasil kemenangan 3-1 di Caen awal pagi tadi.

PSG berkunjung ke pantai Normandy selepas mengesahkan kejuaraan Liga Perancis dan tampak akan melangkah setapak lagi untuk kemenangan keempat berturut-turut dalam pemburuan piala – satu rekod – jika mereka menewaskan pasukan divisyen Les Herbiers di Stade de France pada 8 Mei.

Ketika tampak mendominasi, skuad kendalian Unai Emery diberi tentangan dan satu jaringan mereka dibatalkan selepas melihat Video Bantuan Pengadil (VAR) dan jaringan kedua Mbappe dilihat semula sebelum disahkan berbaki sembilan minit permainan.

PSG sepatutnya boleh menjaringkan gol lebih awal namun sepakan lemah Angel Di Maria diselamatkan penjaga gol Brice Samba pada minit ke-17.

Walaupun keadaan padang teruk, juara Perancis itu cepat menyesuaikan diri dengan Mbappe yang menyerlah malam tadi menjaringkan gol pada minit ke-21.

Pergerakan baik dari tengah padang menyaksikan Edinson Cavani berada dalam posisi baik di bahagian kiri.

Ketika penyerang Uruguay itu memberikan hantaran ke kawasan penalti, Samba tersalah agak dan memberikan Mbappe laluan mudah menampan bola ke gol.

PSG semakin menguasai permainan menentang skuad dari Caen itu yang mengalami kekalahan berturut-turut.

Namun skuad kendalian Patrice Garande bangkit untuk menyamakan kedudukan sebelum rehat babak pertama menerusi Ismael Diomande.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 9:23 AM