IZHAM gesa setiap pasukan guna standard kontrak baharu. FOTO/FAIL
IZHAM gesa setiap pasukan guna standard kontrak baharu. FOTO/FAIL
Syafiq Aznan


‘KEDEGILAN’ beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) menggunakan kontrak lama bagi mengikat pemain menjadi punca wujudnya konflik memandangkan mereka masih mengamalkan klausa yang sudah dihapuskan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail berkata masalah itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kontrak pemain sudah ditambah baik dengan menggunakan standard yang baharu susulan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani PFAM bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tahun lalu.

“Antara perkara yang dipersetujui bagi memastikan kontrak baharu pemain lebih baik adalah dengan mengeluarkan klausa yang membenarkan kontrak pemain ditamatkan atas alasan kecederaan dan prestasi seiring dengan terma dalam Peraturan Status dan Perpindahan Pemain yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“FAM juga sudah mengeluarkan pekeliling pada 26 Disember lalu supaya semua pasukan yang bertanding menggunakan kontrak baharu bagi musim ini di mana jika pasukan ingin melanjutkan atau menandatangani kontrak yang baharu dengan pemain, maka kontrak baharu ini wajib digunakan dan berkuat kuasa serta merta.

“Bagaimanapun, pekeliling itu menggariskan bahawa kontrak yang sudah ditandatangani oleh pemain dan pasukan atau kontrak yang masih mengikat pemain dan pasukan, maka kedua-dua pihak haruslah menghormati dan meneruskan dengan kontrak sedia ada,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Justeru, Izham menggesa semua pasukan supaya dapat menggunakan kontrak baharu pada pembukaan jendela perpindahan kedua yang dijadual 14 Mei ini bagi melicinkan transisi penggunaan kontrak lama kepada kontrak baharu.

“Meskipun pekeliling sudah lama dikeluarkan namun berdasarkan laporan yang diterima daripada pemain sehingga April 2018, masih terdapat pemain dan pasukan yang menggunakan kontrak lama.

“Jadi, kami mengharapkan kontrak baharu dapat digunakan untuk memastikan kebajikan pemain melalui kontrak dapat dijaga sekali gus menjadikan nilai profesionalisme bola sepak Malaysia akan menjadi lebih baik di masa akan datang.

“Dalam masa sama, kewujudan kontrak baharu ini juga adalah adalah untuk memastikan kontrak yang seimbang dan adil dapat dilaksanakan demi kepentingan kedua-dua pihak,” katanya.

Kenyataan PFAM itu dipercayai susulan tindakan drastik Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang menggugurkan beberapa pemainnya secara tidak profesional selepas tidak mengemukakan surat penamatan kontrak secara rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 10:22 PM