SUAREZ anggap Liverpool punyai barisan serangan mantap. FOTO/AFP
SUAREZ anggap Liverpool punyai barisan serangan mantap. FOTO/AFP
Agensi

BARCELONA: Penyerang Barcelona, Luis Suarez mahu mengelak daripada bertemu Liverpool dan menegaskan dia lebih suka untuk menentang Real Madrid pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara.

Barcelona dijangka mudah mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas berkelebihan besar menerusi jaringan 4-1 ke atas Roma pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara minggu lalu.

Gergasi Catalan itu mudah menumbangkan Roma pada aksi di laman sendiri yang menyaksikan Suarez dan Gerard Pique masing-masing meledak dua gol sementara dua lagi disumbangkan jaringan sendiri pemain Roma, Daniele de Rossi dan juga Kostas Manolas.

Dengan kelebihan tiga gol, Roma sudah pasti berdepan cabaran sukar meskipun memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri pada aksi suku akhir kedua, awal pagi Rabu ini.

Bagaimanapun, Suarez mengakui dia gentar untuk bertemu bekas pasukannya, Liverpool pada aksi separuh akhir memandangkan reputasi hebat yang dimiliki jentera serangan pasukan terbabit.

Pemenang Don Balon itu menegaskan The Reds memiliki jentera serangan berbisa apabila membariskan Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino yang mampu mendatangkan masalah kepada pertahanan Barcelona.

Justeru, pemain Uruguay itu lebih rela untuk menempah pertemuan separuh akhir bertemu seteru La Liga, Real Madrid yang ditewaskan 3-0 dalam aksi El-Clasico sebelum ini.

Suarez sendiri meledak satu gol ketika menumbangkan anak buah Zinedine Zidane selain Lionel Messi dan juga Aleix Vidal masing-masing menyumbang satu jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 6:54 PM