LEONG JUN HAO
LEONG JUN HAO
Helmi Talkah


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao enggan mendabik dada di sebalik kejayaannya muncul juara Terbuka Finland semalam, apabila menegaskan perjalanannya masih panjang dalam misi menjadi jaguh dunia. 

Malah, juara remaja Asia 2017 itu tidak menganggap kejayaan berkenaan mampu menjadi tiket automatik bagi mendapat tempat sebagai perseorangan keempat dalam skuad negara menghadapi pusingan akhir Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, bulan depan. 

Jun Hao, 18, menyerahkan sepenuhnya keputusan sama ada  layak atau tidak berada dalam skuad negara kepada ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek. 

"Saya tidak mahu terlalu fikir sangat mengenai perkara ini. Memang impian setiap pemain adalah beraksi dalam saingan Piala Thomas tetapi saya serahkan sepenuhnya kepada jurulatih untuk buat keputusan. 

"Jika jurulatih merasakan saya layak, sudah pasti saya akan berikan yang terbaik bagi membantu pasukan jika diturunkan," kata Jun Hao yang menewaskan rakan senegara, Cheam June Wei dalam aksi final Terbuka Finland itu. 

Ketika ini, Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin hampir pasti disenaraikan dalam skuad negara dengan fokus terarah kepada perebutan tempat untuk perseorangan keempat. 

Selain Jun Hao, June Wei, Soong Joo Ven dan perseorangan profesional, Goh Giap Chin turut berada dalam radar Misbun bagi disenaraikan ke Bangkok. 

Jun Hao yang muncul naib juara Masters Thailand, Januari lalu, berkata fokus dia kini adalah bagi menghadapi saingan Siri Antarabangsa Belanda yang bermula Khamis ini. 

Walaupun dia kini berada pada tahap terbaik bagi merekodkan gelaran kedua berturut-turut, namun pemain berusia 18 tahun itu meletakkan sasaran awal untuk melangkah sehingga separuh akhir terlebih dahulu. 

"Saya tidak mahu letak sasaran terlalu tinggi, separuh akhir adalah realistik. Jika berjaya mara sehingga separuh akhir, baru saya boleh fikir mengenai aksi final atau bergelar juara.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 5:12 PM