TERN Jian Han sedia galas tanggungjawab muncul perenang kuak lentang terbaik Malaysia. - Foto Yazit Razali
TERN Jian Han sedia galas tanggungjawab muncul perenang kuak lentang terbaik Malaysia. - Foto Yazit Razali
Oleh Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

 

TERN Jian Han sudah bersedia menggalas tanggungjawab dan muncul perenang kuak lentang terbaik Malaysia tatkala dia menanam impian untuk memadamkan semua rekod kebangsaan yang dicipta oleh Lim Keng Liat.

Berikutan kejayaan memecahkan rekod 50m kuak lentang milik Keng Liat pada Sukan Komanwel yang sedang berlangsung ketika ini, perenang berusia 23 tahun itu percaya dia juga mampu mengulangi prestasi cemerlangnya itu dalam acara 100m dan 200m.

Rekod Keng Liat dalam 100m dan 200m masing-masing adalah 54.77s (Kejuaraan Dunia 2003) dan 2:00.94 (Sukan Asia 1998).

"Saya merancang untuk memadamkan semua rekod Keng Liat. Saya akan mengambil langkah demi langkah dengan yang pertama fokus saya adalah bagi acara 100m kuak lentang.

"Catatan masa terbaik saya adalah 56.5s dan saya berharap untuk memperbaharui rekod itu sebelum berakhir musim ini.

"Untuk rekod 200m milik Keng Liat, saya mungkin memerlukan tempoh yang lebih panjang kerana catatan terbaik saya hanya 2:04.00s.

Dalam aksi final 50m kuak lentang hari ini, Jian Han merakam 25.96s, lebih perlahan daripada rekod peribadinya iaitu 25.60s untuk berpuas hati di kedudukan kelapan.

Jaguh Australia, Mitch Larkin memenangi emas dengan 24.68s, diikuti rakan senegara Benjamin Treffers (24.84) dan Zac Incerti (25.06).

"Saya amat kecewa dengan perlumbaan hari ini kerana saya sebenarnya memburu untuk memperbaharui rekod. Tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan prestasi saya kerana berjaya mara ke final," kata Jian Han.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 9:41 PM