DATUK Lee Chong Wei berjaya menewaskan Sam Daniel dari Ghana bagi kategori badminton berpasukan sempena Sukan Komanwel Gold Coast 2018. - Foto Yazit Razali
DATUK Lee Chong Wei berjaya menewaskan Sam Daniel dari Ghana bagi kategori badminton berpasukan sempena Sukan Komanwel Gold Coast 2018. - Foto Yazit Razali

TIADA siapa dapat menafikan Datuk Lee Chong Wei untuk memenuhi impiannya pada saingan Sukan Komanwel kali ini.

 Jaguh perseorangan negara itu menyatakan dia berada pada prestasi terbaik apabila membantu Malaysia menduduki tangga teratas Kumpulan D dalam acara berpasukan campuran sekali gus layak ke suku akhir.

 Hari ini, Chong Wei tidak turun beraksi ketika skuad negara menewaskan Seychelles 5-0 tetapi kemudian membantu Malaysia mencatat kemenangan 4-1 ke atas Kanada di Kompleks Sukan Carrara.

 Chong Wei akan menyamai rekod kemenangan lima pingat emas yang dimenangi bekas pemain negara, Koo Kien Keat sekiranya dapat membantu Malaysia memenangi emas dalam acara berpasukan.

 Malah dia juga berpeluang untuk muncul atlet terbaik Malaysia di temasya sukan dwi tahunan itu jika memenangi emas dalam acara perseorangan.

 "Saya tidak berdepan sebarang tekanan beraksi di sini. Sebaliknya, saya  berasa seronok di Gold Coast dan harap dapat memenuhi sasaran peribadi," katanya.

  Pemain ranking keenam dunia itu menambah 2018 adalah tahun cukup penting.

 India yang diletakkan selaku pilihan utama, dijangka akan bertemu Malaysia pada aksi final, Isnin ini.

 Bagaimanapun, pemain perseorangan wanita India, Saina Nehwal enggan terlalu memikirkan soal itu lagi.

 "Saingan berpasukan biasanya sukar kerana semua pemain perlu beraksi dengan baik. Kami tidak terlalu memikirkan pertemuan final dengan Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 10:19 PM