AZROY HAZAL WAFIE IZHAR AHMAD
AZROY HAZAL WAFIE IZHAR AHMAD

GOLD COAST: Kecederaan lutut yang terpaksa dihadapi atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad tidak melunturkan semangatnya untuk berjuang menghadiahkan pingat emas pertama negara pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, hari ini. 

Walaupun terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan pada lutut kanan itu seminggu sebelum memulakan aksi pada temasya empat tahun sekali ini, beliau bagaimanapun berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan meraih pingat emas acara 56kg, hari ini.

“Bila orang tanya, macam mana lutut saya…saya cakap okey walaupun memang sakit dan jalan terhincut-hincut. Saya tahan untuk banggakan negara, keluarga dan juga diri sendiri.

“Lagipun, apalah sangat kesakitan jika dibandingkan dengan kejayaan yang dikecapi hari ini. Ini pun hasil sokongan padu daripada semua termasuklah rakyat Malaysia,” katanya kepada media di Carrara Sports and Leisure Centre.

Atlet berusia 24 tahun yang baru menyambut ulang tahun kelahiran semalam, menyumbang pingat emas pertama negara selepas mencatatkan angkatan seberat 261kg sekali gus memecahkan rekod kejohanan milik idolanya, Amirul Hamizan iaitu 260kg yang dilakukan pada edisi 2002 di Manchester, England. 

Selain memecahkan rekod kejohanan, beliau juga turut mencipta rekod baharu dalam acara snatch selepas membuat angkatan seberat 117kg, memadamkan rekod lama berusia lapan tahun, juga milik Amirul Hamizan seberat 116kg yang dilakukan di New Delhi, India pada 2010. 

Katanya, beliau menyahut cabaran yang diberikan oleh Amirul Hamizan, yang juga merupakan pengurus pasukan angkat berat negara untuk memecahkan rekod miliknya. 

“Secara peribadinya, saya memang bangga dengan pencapaian hari ini. Segala usaha dan penantian saya selama ini membuahkan hasil yang memuaskan. Gold Coast beri nasib yang cukup baik untuk saya.

“Saya akui sebelum acara hari ini, saya tidak dapat lelapkan mata memikirkan tanggungjawab yang terpaksa diselesaikan ini. Stres ada tapi bila dapat berborak dengan ibu bapa saya, tekanan hilang,” katanya.

Azroy Hazal Wafie  juga memberikan kata-kata semangat kepada pasukannya untuk turut mengharumkan nama negara dan membuktikan bahawa sukan angkat berat masih belum terkubur.  – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 1:21 PM