ZVEREV menewaskan Busta 7-6(4), 6-2. FOTO/AFP
ZVEREV menewaskan Busta 7-6(4), 6-2. FOTO/AFP
AFP

MIAMI: Pemain pilihan keempat dari Jerman, Alexander Zverev mara ke final Terbuka Miami selepas menewaskan pemain Sepanyol, Pablo Carreno Busta 7-6(4) 6-2 dalam masa 88 minit di Crandon Park, pagi tadi.

Dia akan menentang pemain Amerika Syarikat, John Isner yang menewaskan Juan Martin del Potro 6-1, 7-6 (7/2) dalam satu lagi aksi separuh akhir sebelum itu.

Carreno Busta beraksi hebat di set pertama tetapi gagal mengekalkan rentak di set seterusnya yang dikuasai Zverev.

“Saya tak puas hati dengan prestasi di set pertama kerana banyak melakukan kesilapan,” kata Zverev selepas tamat perlawanan.

Pemain berusia 20 tahun itu memburu trofi ketujuh kejuaraan ATP dan ketiga Masters 1000 apabila menentang Isner, esok .

Rekod pertemuan Zverev dengan Isner adalah 3-0 dengan kemenangan terakhir ialah pada separuh akhir Terbuka Itali tahun lalu.

Isner pula menamatkan rekod deretan 15 kemenangan berturut-turut bekas pemenang Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat dari Argentina itu.

Begitupun bagi menewaskan Del Potro, Isner perlu berusaha keras malah memerlukan 13 servis ace dalam perlawanan yang mengambil masa satu jam 23 minit untuk ke final.

Tiba di Selatan Florida dengan hanya enam kemenangan pada 2018, Isner, 32, begitupun tampak semakin bertambah baik di Key Biscayne dan bersedia memburu gelaran Masters pertamanya.

“Saya sudah mengharungi banyak perlawanan yang besar dan tidak berjaya mendapatkan permulaan yang baik tetapi kini saya bermain permainan terbaik saya untuk tempoh masa yang lama,” kata Isner.

“Saya amat gembira. Dia amat penat dan sudah bermain begitu banyak perlawanan dan sekali pun set pertama berlangsung dengan pantas, saya tahu ia tidak akan berlaku lagi pada set kedua.

“Saya tidak fikir saya tidak boleh lagi menoleh ke belakang selepas apa yang saya harungi setakat ini. Saya memulakan kejohanan dengan baik dan meningkat dalam setiap permainan. Saya amat segar dan bersedia untuk final.”

Del Potro mengakui dirinya keletihan dan bercadang untuk mengambil sedikit masa untuk berehat sebelum memutuskan kejohanan yang akan disertai berikutnya.

Memenangi aksi di final akan menyaksikan kedudukan rankingnya melonjak kepada tiga dunia tetapi kekal cergas bagi menghadapi Terbuka Perancis pada Mei depan adalah sasaran utamanya.

“Saya tidak mahu berfikir mengenai tenis ketika ini. Saya hanya mahu kekal sihat dan mungkin akan melepaskan beberapa kejohanan untuk bersedia bagi Terbuka Perancis.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 11:49 AM