ISKANDAR ZULKARNAIN ZAINUDDIN
ISKANDAR ZULKARNAIN ZAINUDDIN
Oleh Helmi Talkah


DATUK Misbun Sidek akan menjadi azimat penting buat Iskandar Zulkarnain Zainuddin apabila dia menggalas tugas sebagai perseorangan ketiga skuad negara menjelang pusingan akhir Piala Thomas 2018 di Bangkok, Thailand, Mei depan.

Iskandar mengakui turun sebagai perseorangan ketiga adalah tugas yang mencabar berdasarkan pengalaman yang dilalui bekas rakan sepasukan, Chong Wei Feng (2016) dan Liew Daren (2014).

Berbeza dengan edisi dua tahun lalu di Kunshan, China yang menyaksikan dia menggalas tugas sebagai perseorangan kedua, kali ini Iskandar mengakui perlu lebih bersedia tetapi percaya Misbun selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki mampu menjadi pembakar semangat kepada dirinya.

Tanpa berselindung, pemain ranking ke-50 dunia itu mengakui kehadiran Misbun sejak Julai tahun lalu memainkan peranan yang cukup penting yang menyaksikan kerjayanya kini kembali ke landasan sebenar.

“Sebelum Misbun datang, boleh dikatakan hala tuju saya tidak jelas. Namun, kehadiran beliau banyak membantu saya, kami ibarat bapa dan anak.

“Saya sedar jika turun sebagai perseorangan ketiga, ia pasti satu cabaran besar. Saya sendiri lihat apa yang dilalui Wei Feng dan Daren sebelum ini, tekanannya memang cukup tinggi.

“Namun, saya percaya saya boleh atasi tekanan itu. Lagipun, Misbun sentiasa ada untuk saya, kami sentiasa duduk berbincang dan beliau sentiasa beri motivasi kepada saya,” kata Iskandar.

Pada edisi 2014 di New Delhi, India, Daren gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai perseorangan ketiga dalam aksi penentuan apabila tewas di tangan Takuma Ueda 12-21, 21-18, 17-21 sekali gus menyaksikan Malaysia tunduk di tangan Jepun 2-3 di pentas final.

Situasi sama juga dialami Wei Feng pada edisi 2014 apabila tewas kepada Emil Host 15-21, 18-21 sekali gus Malaysia tewas 2-3 di tangan Denmark di separuh akhir.

Mengenai undian peringkat kumpulan yang menyaksikan Malaysia bersama Denmark, Algeria dan Russia dalam Kumpulan D, Iskandar yakin peluang ke suku akhir cerah.

“Cuma, lebih bagus jika kami muncul juara kumpulan. Denmark adalah pencabar utama bagi perebutan juara kumpulan, saya percaya jika pemain bermain sebagai satu pasukan, kami boleh menewaskan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 6:15 PM