MISBUN (kanan) bersama pemain badminton negara, Iskandar Zulkarnain.
MISBUN (kanan) bersama pemain badminton negara, Iskandar Zulkarnain.
Helmi Talkah

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengambil pendekatan hati ke hati dalam mempersiapkan anak buahnya menghadapi saingan Piala Thomas 2018 di Bangkok, bermula 20 hingga 27 Mei ini.

Pendekatan Misbun itu mendapat reaksi positif pemain khususnya Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang akan menggalas tugas sebagai perseorangan ketiga negara nanti.

“Misbun bercakap dari hati ke hati dan secara persendirian, beliau sentiasa memberikan semangat dan motivasi kepada kami. Pendekatan ini memang terbaik kerana sebagai pemain kami bukan saja perlu mempersiapkan diri daripada aspek fizikal, tapi mental juga.

“Macam saya yang akan menggalas tugas sebagai perseorangan ketiga, Misbun tahu situasi yang saya bakal hadapi terutama apabila keputusan terikat 2-2. Ia pastinya akan memberi tekanan dan Misbun sentiasa beri motivasi dan beritahu apa yang perlu saya lakukan.

“Pemain lain pun sama, beliau akan bercakap dan berbincang dari hati ke hati dengan mereka,” kata Iskandar ketika dihubungi, semalam.

Selain Iskandar, Malaysia turut menyenaraikan tiga lagi pemain perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan juara remaja Asia 2017, Leong Jun Hao manakala acara beregu, skuad negara mempertaruhkan Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Aaron Chia-Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Mohd Arif Latif.

Iskandar yang bakal membuat penampilan kedua dalam kejohanan tahun ini berkata, skuad kali ini dianggap lebih segar dengan kehadiran pemain muda berbanding edisi dua tahun lalu di Kunshan, China.

“Apa yang saya lihat, pemain muda menunjukkan komitmen tinggi. Semangat mereka untuk mewakili Malaysia dalam Piala Thomas berkobar-kobar dan itu pastinya memberikan kelebihan kepada pasukan,” katanya.

Di Kunshan, cabaran Malaysia berakhir di separuh akhir selepas tewas kepada Denmark 2-3.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 10:07 AM