Tunku Ismail (kiri) bersama Figueroa di Stadium Sultan Ibrahim.
Tunku Ismail (kiri) bersama Figueroa di Stadium Sultan Ibrahim.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Nama legenda kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa yang kini pengurus kelab berkenaan diabadikan di satu kawasan tempat duduk di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Langkah menamakan bekas pemain import JDT itu di kawasan tempat duduk dengan nama `Luciano Figueroa Stand' adalah bagi menghormati segala keringat dan jasa pemain itu ketika bersama skuad Harimau Selatan.

Figueroa menyertai pasukan itu sejak 2014 sebelum bersara pada 2018.

Majlis serba ringkas tetapi bermakna disempurnakan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta disaksikan oleh Duta Besar Argentina ke Malaysia, Manuel Balaguer Salas dan Figueroa.

"JDT memberi pengiktirafan kepada mereka yang memberi sumbangan kepada bola sepak Johor tidak kira masa lalu atau masa akan datang.

"Kami sentiasa menghargai pemain, barisan kejurulatihan dan kakitangan yang berkhidmat serta mencipta sejarah bersama JDT.

"Hari ini, kami mengiktiraf sumbangan bekas pemain kami dan pengurus pada masa ini, Luciano Figueroa, yang memenangi pelbagai trofi bersama JDT, termasuk detik bersejarah menjadi pasukan pertama dari Asia Timur yang memenangi Piala AFC. Nama beliau akan selamanya tertera di stadium ini.

"Untuk rekod, sepanjang bersama skuad Harimau Selatan sejak 2014, beliau menjaringkan 42 gol dan ia adalah pencapaian terbaik tatkala berstatus pemain import selain bertindak melakukan 14 bantuan jaringan selepas mengharungi 71 perlawanan.

Bekas pemain kebangsaan Argentina ini memenangi dua kejuaraan Liga Super pada musim 2014 dan 2015 selain Piala Sumbangsih pada 2015 dan disusuli kejayaan terbesar pada musim 2015 apabila JDT membawa pulang Piala AFC 2015.

Pada musim 2018, Figueroa kembali menyarung jersi skuad Harimau Selatan dan kemudian membantu pasukan itu memenangi Piala Sumbangsih.

Pada bulan Ogos tahun yang sama beliau di lantik sebagai pengurus pasukan dan ia ternyata memberi kesan buat JDT apabila memenangi Piala Sumbangsih pada musim 2016 dan 2019 selain muncul juara liga 2019 dan turut menjuarai Piala Malaysia pada musim yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 6:13 PM