TUNKU Ismail mencium puterinya, Tunku Kalsom sambil diperhatikan Cik Puan Khaleeda Bustamam selepas sidang media Kongres Kedua FMLLP 2018 di Forest City, Gelang Patah. -Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
TUNKU Ismail mencium puterinya, Tunku Kalsom sambil diperhatikan Cik Puan Khaleeda Bustamam selepas sidang media Kongres Kedua FMLLP 2018 di Forest City, Gelang Patah. -Foto HAIRUL ANUAR RAHIM
Rizar Mohd Noor


TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sah melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkuat kuasa hari ini, iaitu genap setahun selepas menduduki kerusi panas itu.

Keputusan itu diumumkan TMJ dalam sidang media selepas Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), di sini dengan beliau memegang jawatan itu selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM, 25 Mac 2017.

“Ketika saya dilantik sebagai presiden, saya memaklumkan kepada Datuk Hamidin Mohd Amin (Setiausaha Agung FAM) untuk pegang jawatan selama setahun saja selepas melakukan penstrukturan dalam FAM dan berusaha membawa penaja berjaya dilaksanakan.

“Saya nak menyatakan pendirian saya tanpa bersikap diplomatik terutama sekali kepada peminat bola sepak. Setahun saya berada di FAM, saya membawa struktur yang baharu dengan mengadakan mesyuarat EXCO secara berkala di setiap negeri ahli gabungan.

“Saya juga membawa penaja dan pertama kali dalam sejarah setiap pasukan negeri dan kelab yang bersaing di Liga Super mendapat geran RM3 juta dan RM1 juta pula untuk pasukan yang bersaing di Liga Perdana,” kata Tunku Ismail.

Pada 15 Mac lalu, TMJ membuat kejutan apabila meluahkan hasrat melepaskan jawatan susulan prestasi buruk skuad kebangsaan yang menyaksikan ranking Harimau Malaya menjunam ke tangga 178 dunia, kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak negara.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak dipersetujui ramai pihak khususnya EXCO FAM yang masih mengharapkan kepimpinan TMJ untuk melakukan perubahan dalam bola sepak tanah air.

Selain itu, TMJ yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal sebagai Pengerusi FMLLP selepas sebulat suara dipilih dalam kongres kedua badan pengelola Liga Malaysia itu.

Malah, beliau menjelaskan FMLLP akan melalui penjenamaan semula dan akan dikenali sebagai Malaysia Football League (MFL), organisasi yang berbeza dan tidak terikat lagi dengan FAM.

“Saya lebih suka berkhidmat kepada orang yang lebih bijak dan boleh berfikir dari segi prestasi terutama kerja keras saya. Hari ini saya sebagai Pengerusi FMLLP dan akan melalui perubahan dengan penjenamaan semula.

“Ia akan dikenali sebagai MFL yang akan lebih dinamik dan berdaya saing. MFL kini organisasi bebas dan tidak lagi terikat dengan keputusan FAM.

“Pelantikan saya sebagai Pengerusi MFL untuk menjaga kepentingan Liga Malaysia selain kepentingan penaja yang memberi saya amanah dan kepercayaan, jadi sebab itu saya ada di sini untuk jaga kepentingan semua pasukan,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 5:43 PM