SILVA (tengah) jaring gol keduannya melepas jangkauan penjaga gawang Stoke. -Foto AFP
SILVA (tengah) jaring gol keduannya melepas jangkauan penjaga gawang Stoke. -Foto AFP

STOKE-ON-TRENT, England: David Silva meledak dua gol menakjubkan ketika Manchester City semakin hampir merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Pep Guardiola dengan kemenangan selesa 2-0 ke atas Stoke, sebentar tadi.

Selepas mengembalikan semula kelebihan 16 mata di puncak carta, kemenangan terbaru membolehkan City berpotensi memastikan kejuaraan awal bulan depan apabila mereka melayan pasukan tangga kedua yang juga musuh setempat United dalam pertembungan jiran tetangga Manchester.

Ia hanya mengambil masa sembilan minit buat City untuk merobek pasukan Stoke yang kelihatan hampir pasti mengalami penyingkiran musim ini.

Seperti beberapa kes sebelum ini, gol itu hadir menerusi rentak pantas dan kehebatan serangan balas selepas penyerang Gabriel Jesus turun sedikit ke bawah dan terbabit dalam gerakan gol.

Dia mengumpan kepada Raheem Sterling, yang meluru di bahagian sayap kanan dan hantaran silang penyerang England itu menemui Silva yang mudah merembat masuk dari jarak 12 ela.

Sebaik Silva meraih gol kedua, bermula daripada serangan balas pertama pada babak kedua, sukar untuk melihat tuan rumah melakukan kebangkitan.

Usaha itu tetap menarik seperti gol pertama, selepas Fernandinho memenangi perebutan bola dan mengumpan kepada Silva yang bertukar hantaran sempurna dengan Jesus.

Silva menyudahkannya, melepasi jangkauan Jack Butland yang meluru keluar, melengkapkan persembahan yang mengagumkan memandangkan pemain Sepanyol itu akhir-akhir ini kerap pulang ke negaranya untuk menghabiskan masa dengan anak lelaki yang baru lahir.

Jaringan pada minit ke-50 itu menyaksikan keyakinan City makin memuncak, dengan rembatan Jesus terkena tepi jaring dan gelecekan menarik Sterling hampir menyebabkannya meletakkan bola ke dalam jaring sebelum ditampan Butland. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:53 AM