Gwala diserang tiga lelaki dengan gergaji rantai. FOTO FB Gwala
BBC

ATLET triathlon Afrika Selatan, Mhlengi Gwala hampir hilang dua kakinya selepas diserang tiga lelaki dengan gergaji rantai ketika menjalani latihan.

Rakan sepelatih Gwala, Sandile Shange memberitahu BBC atlet berusia 26 tahun itu bagaimanapun berada dalam keadaan stabil di hospital.

Doktor berkata, kecederaan dialami tidak mengancam nyawanya.

Serangan dilaporkan berlaku awal pagi, kelmarin di Durban ketika Gwala sedang mengayuh basikal bersendirian.

Tiga lelaki terbabit cuba memotong kedua dua kaki Gwala tetapi dia dapat menyelamatkan diri dan meminta bantuan orang awam.

Jurucakap polis Nqobile Gwala memberitahu kes cubaan bunuh itu sedang disiasat.

"Dia menyangka mereka datang untuk merompak ketika ditahan. Gwala menyerahkan telefon bimbit tetapi mereka menolak. Mereka juga tidak mahu jam tangan atau basikalnya," kata Shange.

"Mereka menariknya ke tepi jalan ke kawasan semak sebelum mengeluarkan gergaji rantai untuk memotong kakinya.

"Mereka cuba memotong kaki kiri tetapi gergaji rantai tumpul menyebabkannya tersangkut pada tulang. Selepas itu, mereka mencuba kaki kanan pula."

Pemenang pingat gangsa triathlon Sukan Olimpik negara itu, Henri Schoeman menganggap insiden itu menjijikkan di laman Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 1:13 PM