MAHREZ akui akaun Facebook digodam.
MAHREZ akui akaun Facebook digodam.
AFP

LONDON: Leicester City mengesahkan hari ini bahawa penyerang utamanya Riyad Mahrez tidak meninggalkan dunia bola sepak selepas mesej pelik muncul di laman Facebook pemain itu mengumumkankan persaraannya.

Mesej berkenaan berkata pemain Algeria itu bersara selepas mendapat nasihat perubatan, mencetuskan rasa kecewa daripada peminat namun ada juga yang mendakwa ia adalah palsu.

“Selepas rundingan terakhir dengan beberapa doktor, saya memutuskan untuk menjauhkan diri daripada bola sepak,” menurut mesej di Facebook itu.

“Memandangkan masa saya sebagai pemain bola sepak semakin berakhir, saya ingin berkata sesuatu.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua atas kebaikan dan sokongan yang mereka berikan di bandaraya hebat ini, anda sentiasa di hati saya.”

Jurucakap kelab itu memberitahu AFP bahawa akaun Mahrez sudah digodam.

“Ia bukan mesej yang asli dan kami bekerjasama dengan Facebook supaya ia dibuang,” katanya.

Mesej itu kini sudah dipadamkan.

Leicester membuat laporan khas mengenai Mahrez di laman web mereka hari ini, yang menyaksikan impak pemain berkenaan musim ini, sekali gus membayangkan mesej di Facebook itu adalah palsu.

“Sering menyelinap di sebalik pertahanan, Mahrez sekali lagi menjalankan tugasnya sebagai ketua penyeksa pemain lawan musim ini,” demikian menurut artikel berkenaan.

Mahrez, 27, menjaringkan gol pertamanya hujung minggu lalu selepas isu perpindahannya ke Manchester City yang menyebabkannya ‘ghaib’ dari kelab itu selama 10 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 11:10 PM