ANDRES MANUEL LOPEZ OBRADOR
ANDRES MANUEL LOPEZ OBRADOR
AFP

Salamanca (Mexico): Satu kumpulan penjenayah dipercayai meninggalkan bom palsu dan mesej ancaman kepada Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador sebagai amaran supaya menghentikan usaha membanteras kecurian minyak.

Mesej yang ditinggalkan di luar kilang penapisan minyak Salamanca, tengah negeri Guanajuato itu memberi amaran kepada pemimpin sayap kiri itu supaya mengarahkan semua tentera dan pihak berkuasa berundur.

Kumpulan itu dipercayai meninggalkan objek kelihatan seperti bom di dalam sebuah trak pikap di luar kilang berkenaan.

“Jika tidak, kami akan membunuh semua orang termasuk orang awam yang tidak bersalah,” kata kumpulan dikenali Puro Cartel Santa Rosa de Lima dalam mesej yang ditandatangan itu.

Mesej itu turut menggesa pembebasan beberapa suspek yang ditahan oleh kerajaan dalam operasi baru-baru ini.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kemudian mengesahkan bungkusan terbabit adalah bom palsu.

“Ini adalah amaran palsu. Tidak ada bahan letupan dalam trak pikap ditinggalkan itu. Secara jelas ini adalah berkaitan dengan operasi anti kecurian minyak,” kata jurucakap presiden, Jesus Ramirez.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 12:13 PM