BARCELONA mengalami kejutan terbesar apabila terikat seri 1-1 ketika berdepan pasukan yang bergelut Las Palmas dalam saingan La Liga, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Barcelona kini hanya mendahului lima mata menjelang aksi melawan Atletico Madrid Ahad ini.
Lionel Messi menjaringkan gol pembukaan Barca pada minit ke-21 menerusi sepakan percuma yang menuju ke bucu gawang namun Las Palmas yang kini menghuni tiga pasukan tercorot memastikan mereka bernafas sejurus Jonathan Calleri menyempurnakan penalti pada minit ke-48.
Sebelum itu, bintang Argentina itu menceriakan penyokong apabila sepakan percuma itu terus menuju ke bucu gawang lawan.
Begitupun nasib tidak menyebelahi skuad Catalan itu apabila pengadil tidak menghukum penjaga gol Las Palmas, Leandro Chichizola yang dilihat memegang bola di luar petak penalti.
Barca kini menduduki tangga teratas liga dengan 66 mata di depan Atletico, yang akan berkunjung ke Nou Camp Ahad ini.
Atletico menang lapan perlawanan terakhir mereka manakala Barca seri empat kali daripada lapan pertembungan yang diharungi mereka.