PEMAIN hoki negara tiada alasan untuk gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
PEMAIN hoki negara tiada alasan untuk gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Saiful Affendy Sapran


TIADA sebarang alasan buat skuad hoki negara gagal memenuhi sasaran layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi Sukan Asia Indonesia, Ogos depan selepas diberi ‘layanan istimewa’ sepanjang tahun ini untuk memenuhi sasaran itu.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan, keutamaan sepanjang tahun ini sememangnya diberikan kepada Malaysian Tigers untuk melakukan persiapan rapi menjelang temasya itu.

Katanya, skuad negara akan memulakan kempen pada Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh bulan depan sebelum mengharungi beberapa kejohanan dan perlawanan persahabatan dengan kemuncaknya beraksi di Sukan Asia serta Piala Dunia di Bhubaneswar, India pada Disember.

“Piala Sultan Azlan Shah adalah kejohanan yang cukup bagus untuk pasukan negara kerana mereka sememangnya perlu bermain dengan lawan yang lebih bagus.

“Seperti yang anda ketahui, pasukan seperti Argentina, Australia, England, Ireland dan India akan beraksi tahun ini.

“Malah kami juga sudah memeterai perjanjian dengan Argentina untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada 27 dan 28 Februari ini dan kemudian menyertai siri jelajah di Argentina pada Julai.

“Pendek kata segala perancangan tahun ini sememamgnnya amat padat.

“Jadi tiada alasan untuk skuad negara tidak boleh mencapai kecemerlangan di Sukan Asia dan Piala Dunia,” katanya.

Jelas Subahan, pihaknya juga membuat keputusan untuk memendekkan perjalanan Liga Hoki Malaysia (LHM) yang berakhir baru-baru ini kepada lima minggu saja semata-mata untuk membolehkan pasukan kebangsaan melakukan persiapan rapi.

“Mungkin tahun depan kami akan memanjangkan kembali tempoh saingan liga. Kami tiada pilihan tahun ini kerana kejohanan membabitkan skuad negara terlalu padat,” katanya.

Hanya pemenang pingat emas Sukan Asia akan meraih tiket automatik ke Tokyo.

Kali terakhir skuad negara layak ke temasya sukan terbesar dunia itu adalah pada 2000 di Sydney, Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 5:45 PM