KONTRAK Ozil (kiri) akan berakhir hujung musim ini. FOTO/AFP
KONTRAK Ozil (kiri) akan berakhir hujung musim ini. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Henrikh Mkhitaryan bersiap sedia untuk penampilan sulungnya di Arsenal ketika skuad Arsene Wenger menyambung kembali kempen Liga Perdana Inggeris mereka dengan kelab tercorot Swansea City awal pagi Rabu.

Skuad Gunners berkunjung ke Selatan Wales berbekal kejayaan separuh akhir Piala Liga ke atas Chelsea dan berehat panjang selepas mereka tersingkir awal dari Piala FA kepada pasukan Liga Kejuaraan Nottingham Forest.

Ketibaan Mkhitaryan dari Manchester United turut bermakna skuad Wenger berpeluang bersiap sedia untuk perlawanan itu tanpa gangguan yang berpunca dari keinginan Alexis Sanchez mahu meninggalkan Stadium Emirates.

Perjanjian yang menyaksikan Sanchez dan Mkhitaryan saling bertukar kelab itu menyelesaikan kemelut yang cuba menggugat separuh kedua kempen Arsenal musim ini.

Namun dengan ketiadaan Sanchez, Wenger berharap dapat membentuk pasukannya dengan pengatur serangan Armenia Mkhitaryan dan Mesut Ozil sebagai tonggak mereka.

Sejauh mana berkesannya gandingan itu bergantung sama ada Ozil memilih untuk kekal di Arsenal selepas kontraknya ketika ini yang tamat akhir musim ini.

Wujud laporan membayangkan pemain Jerman itu juga akan kembali bertemu Sanchez di Old Trafford dan Wenger tidak mengetahui mengenai masa depan Ozil.

“Tidak cukup optimis, juga tidak begitu pesimis,” itulah penilaian Wenger terhadap rundingan dengan Ozil dalam satu taklimat media.

“Daripada apa yang saya rasakan menerusi komitmen, fokus dan keinginan untuk berjaya bersama pasukan dia bersikap seperti seorang yang mempunyai fokus sepenuhnya dan komited tetapi semuanya berganting kepada perbincangan kontrak.

“Kami belum sampai ke tahap ‘ Ya, dia akan menyambungnya.’ Saya tidak tahu.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 1:11 PM