DIAZ (kiri) idam buru gelaran penjaring terbanyak.
DIAZ (kiri) idam buru gelaran penjaring terbanyak.
Rizar Mohd Noor


IBARAT sirih pulang ke gagang. Jorge Pereyra Diaz jelas gembira apabila kembali menyarung semula jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) yang akan menyingkap tirainya pada 3 Februari ini.

“Sudah tentu saya gembira kembali beraksi semula untuk JDT. Ia adalah kelab yang saya sayang dan amat selesa bermain bersama. Malah saya berazam memberi persembahan terbaik nanti.

“Musim depan saya akui cukup mencabar memandangkan pasukan lain juga membuat persiapan rapi mengharungi kempen Liga M. Tetapi kami tetap berkerja keras mengharungi apa juga ranjau yang berliku bagi memastikan kemenangan.

“Secara peribadi saya idamkan untuk sekali lagi muncul penjaring terbanyak selepas melakukannya pada musim 2016. Tetapi itu adalah impian saya, namun paling mustahak sudah tentu kerjasama berpasukan ketika dalam perlawanan untuk menghasilkan kemenangan,” katanya.

Sebelum kembali menyertai skuad Harimau Selatan, Diaz dipinjamkan ke kelab Club Leon yang bersaing di Liga Mexico selama semusim.

Dan pastinya kehadirannya yang akan bergandingan bersama Luciano Figueroa bakal menguatkan lagi jentera serangan skuad kendalian Ulisses Morais itu.

Diaz berkata latihan seminggu lalu di bawah kendalian Morais tampak berjalan lancar bagi memastikan apa juga perancangan taktikal yang akan dibentuk dapat difahami sekali gus memudahkan perancangan permainan menjelang aksi kelayakan ACL dan Liga M.

Katanya, dia tidak berdepan masalah untuk memahami corak permainan rakan sepasukan memandangkan sudah mengenali antara satu sama lain serta pernah beraksi ketika musim lalu.

“Saya baru saja mengenali Morais. Beliau seorang yang memiliki sikap positif dan sentiasa beri tunjuk ajar tentang taktikal.

“Saya optimis skuad JDT pada musim depan tampak lebih mantap dan kami akan berusaha mempertahankan kejuaraan Liga Super,” kata Diaz.

Apa pun bintang import skuad Harimau Selatan itu mengakui persiapan lebih rapi harus dilakukan bagi berdepan Muangthong United FC pada pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 23 Januari ini.

Dan sudah pasti ia adalah misi utama bagi memburu tempat ke saingan kumpulan ACL buat pertama kali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 4:25 PM