PABLO CARRENO BUSTA
PABLO CARRENO BUSTA
AFP

DOHA: Pemain pilihan kedua dan ketiga, Pablo Carreno Busta dari Sepanyol dan Tomas Berdych tersingkir di pusingan pertama tenis Terbuka Qatar pada hari penuh kejutan di Doha, semalam.

Kedua-dua pemain pilihan itu tumbang pada aksi penentuan tiebreak di set ketiga.

Carreno Busta ditewaskan pemain Croatia, Borna Coric, 7-5, 2-6, 6-7 (8/10) dalam perlawanan penuh melelahkan yang berlangsung selama 2 jam 41 minit.

Pemain Republik Czech, Berdych pula tewas 4-6, 6-1, 6-7 (4/7) dalam perlawanan yang berlangsung di gelanggang utama kepada pemain tinggi lampai dari Jerman, Jan-Lennard Struff.

Kekalahan mereka bermakna kejohanan itu hilang dua pemain di ranking terbaik selepas kehilangan tiga bintang utama iaitu Novak Djokovic, Stan Wawrinka dan Jo-Wilfried Tsonga sebelum saingan bermula.

Ketiga-tiganya tidak mengambil bahagian bagi memberi tumpuan terhadap proses pemulihan kecederaan masing-masing.

Bagi melengkapkan hari malang buat pemain pilihan, pilihan keenam Filip Krajinovic dari Serbia juga tewas tetapi dengan keputusan straight set kepada pemain Jerman, Peter Gojowczyk.

Coric, 21 yang berjaya menewaskan Andy Murray di Terbuka Madrid tahun lalu menyelamatkan tiga mata akhir untuk mara dan menggambarkan kejayaan sebagai ‘kemenangan yang besar.’

“Saya fikir saya bermain dengan amat baik,” kata Coric kepada wartawan. “Saya tidak tahu apa yang boleh dijangkakan, ia adalah perlawanan pertama pada tahun ini, ia sentiasa agak rumit.

“Tetapi apa yang boleh saya katakan adalah saya bermain dengan baik sejak dari awal dan saya bermain dengan amat bagus.”

Lawan Coric di pusingan kedua ialah pemain Georgia, Nikoloz Basilashvili.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 10:48 AM