ISKANDAR berlatih dengan baik setakat ini.
ISKANDAR berlatih dengan baik setakat ini.
Ferzalfie Fauzi


MENUNJUKKAN prestasi mantap ketika dalam latihan menjadi kunci utama Iskandar Zulkarnain Zainuddin perlu dipilih berada dalam skuad Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (kelayakan Piala Thomas) pada 6 hingga 11 Februari ini.

Menurut pemain kelahiran Muar, Johor itu, memang menjadi idaman semua pemain badminton dalam kerjaya masing-masing untuk bermain di Piala Thomas termasuk dirinya sendiri.

“Sekarang saya tidak tahu lagi peluang untuk diserapkan dalam pasukan ini. Hanya jurulatih akan membuat keputusan, namun saya berlatih dengan agak baik setakat ini, seterusnya berharap dapat diberikan kepercayaan sama seperti dua tahun lalu sebagai perseorangan kedua,” katanya.

Iskandar Zulkarnain, 26, berharap dapat berada dalam pasukan dan sekali gus mampu memenuhi kehendak jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei yang inginkan seorang pejuang bagi pasukan berkenaan.

“Saya tahu Chong Wei memang mahukan seorang pemain yang mempunyai perwatakan pejuang, iaitu tidak takut ketika berada di gelanggang. Saya harap mampu diberi kepercayaan dan yakin akan bermain di kejohanan berkenaan selaku perseorangan ketiga berdasarkan ranking semasa.

“Berdasarkan senarai pemain dua tahun lalu, mungkin 40 hingga 60 peratus akan dibarisi muka lama dan selebihnya ialah tonggak muda.

“Dalam masa yang sama kita tidak perlu terlalu mengharapkan sesuatu luar biasa untuk kempen kelayakan kali ini. Jika tidak terlalu mengharap peluang kita akan sentiasa ada, sama seperti Denmark sehingga membolehkan mereka menjadi juara pada 2016,” katanya.

Ditanya mengenai pencapaiannya secara keseluruhan musim ini, Iskandar Zulkarnain mengakui dia melalui perjalanan yang berliku berikutan kecederaan teruk di bahagian belakang badan.

“Tahun lalu saya banyak beraksi di kejohanan bertaraf Siri Super, namun berbeza pula musim ini hanya dapat mengumpul mata melalui saingan Cabaran Antarabangsa, sehingga menyebabkan ranking saya jatuh dan hanya meraih satu kejuaraan Cabaran Antarabangsa Malaysia di Pasir Gudang.

“Mengenai 2018, pula ia agak sukar kerana peraturan baru. Jadi saya tidak boleh membazir satu peluang sekali pun, ia bukan menyusahkan namun untuk menjadikan persaingan lebih kompetitif.

“Saya perlu bekerja keras untuk terus kekal dalam pasukan kebangsaan dan diberi peluang beraksi dalam beberapa kejohanan besar acara berpasukan,” katanya.

Iskandar yang sekarang ini menduduki ranking ke-97 dunia akan memulakan kempen 2018 dengan menyertai Terbuka India pada 30 Januari hingga 4 Februari ini

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 2:10 PM