GATLIN (kiri) pecat Mitchell yang dituduh menawarkan preskripsi palsu. -Foto Agensi
GATLIN (kiri) pecat Mitchell yang dituduh menawarkan preskripsi palsu. -Foto Agensi
AFP

LONDON: Juara dunia pecut 100 meter, Justin Gatlin yang dua kali digantung ekoran penggunaan doping dipalit satu lagi skandal, selepas The Daily Telegraph melaporkan rakan rapatnya menawarkan dadah meningkatkan prestasi kepada wartawan yang menyamar.

Pelari pecut Amerika Syarikat (AS) berusia 35 tahun itu memecat jurulatihnya, Dennis Mitchell, menurut laporan berkenaan yang mendedahkan Mitchell dan ejen olahraga, Robert Wagner menawarkan untuk memberikan memberikan preskripsi palsu bagi mendapatkan bahan meningkatkan prestasi terlarang dan menyeludup bahan itu ke AS.

The Telegraph berkata, siasatan terhadap tindakan pihak yang berkait rapat dengan Gatlin itu sedang dijalankan oleh Unit Integriti Olahraga (AIU) pada tahun ini oleh Persatuan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dan Agensi Anti Doping AS (USADA).

“Siasatan yang berpunca daripada orang tengah dan pemberi maklumat memainkan peranan kritikal dalam usaha anti doping,” kata jurucakap USADA yang enggan didedahkan kepada akhbar berkenaan.

“Ketika ini, kami menjalankan koordinasi dengan Unit Integriti Olahraga sebagai usaha untuk menyiasat dakwaan ini secara menyeluruh.”

Presiden IAAF, Sebastian Coe berkata, kemenangan Gatlin ke atas legenda Jamaica, Usain Bolt pada Ogos lalu di Kejuaraan Olahraga Dunia di London pada final pecut 100 meter sebagai sesuatu yang tidak bagus untuk sukan berkenaan dan memberitahu akhbar berkenaan dakwaan itu cukup serius.

“Pertuduhan ini amat serius dan saya tahu, Unit Integriti Olahraga akan menyiasat selaras dengan mandat yang diberikan,” kata Coe.

Kes berkenaan timbul selepas penasihat undang-undang juara dunia 2017 itu menyiarkan ujian dadah rasmi selama lima tahun yang menunjukkan dia bebas.

Gatlin sebelum ini digantung susulan doping pada 2001 selama setahun dan pada 2006, selama empat tahun.

Ejen yang sudah lama bersama Gatlin, Renaldo Nehemiah memberitahu akhbar berkenaan, Wagner hanya mewakili Gatlin untuk dua ke tiga kali dan atlet berkenaan tidak bersama kedua-dua tertuduh ketika perbincangan mengenai bahan berkenaan sedang berjalan.

Mitchell dan Wagner dituduh menawar bagi membekal dan menyediakan hormon pertumbuhan testosteron dan manusia untuk pelakon yang berlatih bagi filem dalam olahraga dengan harga AS$250,000 (RM1.1 juta), menurut laporan berkenaan.

The Telegraph berkata, pihaknya memulakan siasatan pada Julai lalu selepas mendapat maklumat ejen dan jurulatih terbabit membekalkan dadah kepada atlet. Wartawan terbabit kemudiannya menyamar sebagai wakil daripada syarikat produksi filem mencari jurulatih untuk melatih bintang filem.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 3:49 PM