COE (kiri) dan Andersen ketika sidang media.
COE (kiri) dan Andersen ketika sidang media.

Melbourne: Russia masih perlu membuktikan komitmennya dalam usaha memastikan atlet mereka bersih daripada pengaruh dadah jika masih mahu bersaing di peringkat antarabangsa, kata presiden IAAF Sebastian Coe.

Persekutuan Olahraga Russia (RUSAF) dilarang menyertai mana-mana pertandingan sejak November 2015 selepas siasatan dijalankan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) mendapati sebahagian besar atlet negara itu terbabit dengan penyalahgunaan bahan terlarang.

Jawatankuasa bertindak IAAF mengesahkan bahawa hukuman ke atas Russia akan kekal hingga sekurang-kurangnya November ini sekali gus bermakna atlet negara itu tidak akan dapat beraksi di kejohanan dunia di London, Ogos nanti.

Mereka turut terlepas aksi di temasya Olimpik Rio tahun lalu.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Rune Anderson berkata, usaha Russia untuk membersihkan olahraga masih belum mendatangkan kesan positif dengan pelbagai masalah membabitkan beberapa peringkat.

Walaupun meluahkan keyakinan dengan berkata RUSAF sudah jauh berbeza berbanding sebelum digantung, Coe berkata jawatankuasa IAAF masih belum berpuashati dengan beberapa perkara.

“Kami bekerjasama baik dengan Presiden RUSAF yang baru (Dmitri Shlyakhtin),” katanya kepada wartawan di Melbourne.

“Pandangan jawatankuasa kami ialah perlu beberapa perubahan di Russia terutama membabitkan kaedah kejurulatihan di negara itu.

“Tetapi pada masa sama, kami juga perlu memastikan bahawa usaha yang mereka jalankan itu konsisten dengan apa yang kami arahkan.

“Sudah ada beberapa perubahan dan kejayaan...tetapi masih ada lagi bahagian yang kami rasa perlu diubah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 9:20 AM