KIRADECH melakukan eagle di lubang terakhir kejohanan Masters Indonesia semalam. FOTO/REUTERS
KIRADECH melakukan eagle di lubang terakhir kejohanan Masters Indonesia semalam. FOTO/REUTERS
Reuters

JAKARTA: Pemain golf Thailand Kiradech Aphibarnrat melakukan eagle di lubang terakhir kejohanan Masters Indonesia semalam, sekali gus menempah tiket ke kejohanan Masters pada April depan, berdasarkan unjuran ranking dunia.

Seramai 50 pemain terbaik pada penghujung tahun akan menerima undangan untuk menyertai kejuaraan utama pertama tahun depan di Augusta National.

Aphibarnrat menduduki tangga kelima di Indonesia, naik ke tangga ke-51 dalam ranking dunia terbaharu tetapi Pengarah Pengurusan Data Jelajah Eropah Ian Barker, yang mengendalikan ranking berkata menerusi emel bahawa pemain Thailand itu akan melonjak ke tangga ke-49 dalam senarai hujung tahun.

Unjuran berkenaan dilihat sebagai sesuatu yang wajar memandangkan tiada kejohanan diadakan sehingga akhir tahun yang menjejaskan kedudukan 50 teratas dunia.

Ranking berkenaan berubah setiap minggu, biarpun tanpa kejohanan kerana formula yang digunapakai untuk perkiraan bergantung kepada pencapaian terkini.

Pemain golf Jepun Yusaku Miyazato turut menempah tiket Masters dengan menduduki tangga keempat di Indonesia. Kedudukannya meningkat dari tangga ke-58 kepada 52 dunia, dan diunjurkan pada hujung tahun ini di tempat ke-50.

Pemain lain yang turut mempunyai peluang menyertai 50 teratas dan layak ke Augusta adalah Tyrrell Hatton, Matthew Fitzpatrick dan Ross Fisher dari England, pemain Sweden Alex Noren, Branden Grace dari Afrika Selatan, wakil Jepun Yuta Ikeda dan pemain Austria Bernd Wiesberger.

Mereka berpeluang menyertai Masters dengan berada dalam kelompok 50 teratas dunia sebelum kejohanan itu yang akan diadakan dari 5 hingga 8 April.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 1:36 PM