SALAH (kanan) jadi pemain Mesir ketiga memenangi Anugerah Pemain Terbaik BBC 2017
SALAH (kanan) jadi pemain Mesir ketiga memenangi Anugerah Pemain Terbaik BBC 2017
AFP

LONDON: Bintang Mesir, Mohamed Salah meraih Anugerah Pemain Terbaik Afrika BBC 2017 susulan prestasi memukau yang ditampilkan di Liverpool, Roma dan pasukan kebangsaan.

Pemain berusia 25 tahun itu mendahului undian yang menyaksikannya membawa Mesir ke perlawanan akhir Piala Negara Afrika dan kemudian membantu Mesir tampil buat pertama kali dalam aksi Piala Dunia sejak 1990, menjaringkan lima gol dan menyumbangkan dua gol lagi ketika pusingan kelayakan.

Salah, penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris dengan 13 gol setakat ini, turut muncul penjaring terbanyak dalam semua perlawanan kelab Serie A ketika bersama Roma pada sebelum berpindah ke Merseyside.

“Saya amat gembira kerana memenangi anugerah ini,” kata Salah kepada BBC Sport.

“Ia sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa apabila memenangi sesuatu seperti ini. Saya rasakan saya mempunyai tahun yang cukup baik, saya sangat gembira.”

Salah mengetepikan bintang Afrika lain untuk menjadi warga Mesir ketiga yang memenangi anugerah dan yang pertamanya diraih menerusi Mohamed Aboutrika pada 2008.

Penyerang Borussia Dortmund dari Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang, Naby Keita dari Guinea yang bakal menjadi rakan sepasukan Liverpool pada masa depan - ketika ini berada di RB Leipzig manakala pemain The Reds, Sadio Mane dari Senegal dan Victor Moses dari Nigeria, iaitu pemain sayap Chelsea tewas kepada penyerang lincah, yang diberi jolokan ‘Messi Mesir’ dalam perebutan anugerah itu.

“Saya mahu menjadi pemain terbaik Mesir dan saya bekerja keras,” kata Salah, yang membantu Roma dengan 15 gol untuk mengutip mata terbaik iaitu 87 mata dan menamatkan musim Serie A di tempat kedua pada musim lalu.

“Saya sentiasa mengikut cara saya dan mahu semua orang di Mesir mengikut jejak saya,” katanya.

Salah kini menyertai legenda Afrika seperti Didier Drogba dan Yaya Toure - yang memenanginya sebanyak dua kali selain penyerang Liberia, George Weah yang turut pernah memenangi anugerah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 1:17 PM