PEMAIN yang menyertai Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Timbalan Presiden FAM bergambar kenangan.
PEMAIN yang menyertai Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Timbalan Presiden FAM bergambar kenangan.
Nazri Abu Bakar


PASUKAN SIC FC dari Kuala Lumpur muncul juara Kejohanan Bola Sepak Veteran Piala Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi di Melaka, baru-baru ini.

SIC unggul selepas menewaskan Arena FM Melaka 1-0 pada aksi final sekali gus membawa pulang piala, wang tunai RM2,000 dan hadiah iringan, sementara naib juara meraih RM1,000, piala serta cenderahati.

Kejohanan dirasmikan Bendahari Kehormat Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Razak Abu Hassan yang turut dihadiri Naib Presiden MUSA, Datuk Khairi Anuar Ahmad manakala majlis penutup disempurnakan penasihat kejohanan, Zahrin Haris.

Penyelaras kejohanan, Mohd Nor Wali Mahmud berkata, beberapa bekas pemain kebangsaan termasuk Ramli Junit, Azmil Azali, Samsurin Abd Rahman, Ching Hong Aik, Soh Chor Len dan Leong Hong Seng turut beraksi dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Tun Fatimah itu.

“Walaupun sudah lama bersara, mereka ternyata masih memiliki sentuhan sekali gus menghiburkan penonton. Paling menarik perhatian aksi Ramli apabila legenda Olimpik 1982 itu membuktikan masih mempunyai bisa termasuk menjaringkan gol dalam perlawanan berkenaan meskipun sudah mencecah 63 tahun,” katanya.

Kejohanan anjuran bersama kelab Bola Sepak Arena FM, Kelab Bolasepak Lagenda Melaka, MUSA dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan kaum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:00 AM