PASUKAN SIC dan Arena FM bergambar sebelum perlawanan akhir.
PASUKAN SIC dan Arena FM bergambar sebelum perlawanan akhir.
Nazri Abu Bakar

Melaka: Pasukan SIC FC dari Kuala Lumpur muncul juara kejohanan bola sepak veteran Piala Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Yusoff Mahadi di Melaka.

SIC unggul selepas menewaskan Arena FM Melaka 1-0 membolehkan mereka membawa pulang piala, wang tunai RM2,000 dan hadiah iringan, sementara naib juara meraih RM1,000, piala serta cenderahati.

Kejohanan dirasmikan Bendahari Kehormat MUSA, Razak Abu Hassan. Hadir sama Naib Presiden MUSA, Datuk Khairi Anuar Ahmad sementara penutup dilakukan penasihat kejohanan Zahrin Haris.

Penyelaras kejohanan, Mohd Nor Wali Mahmud berkata, beberapa bekas pemain kebangsaan beraksi termasuk Ramli Junit, Azmil Azali, Samsurin Abd Rahman, Ching Hong Aik, Soh Chor Len dan Leong Hong Seng.

Menurutnya, kejohanan di Stadium Tun Fatimah itu turut menyaksikan ramai bekas pemain negeri dan kelab yang pernah memeriahkan bola sepak Malaysia pada era 70-an dan 80-an kembali beraksi.

“Apa yang menarik kejohanan ini menyaksikan legenda Olimpik 1980, Ramli Junit yang berusia 63 tahun masih mampu menampilkan kewibawaannya dengan turut menjaringkan gol dalam perlawanan berkenaan.

“Lebih penting kejohanan mengembalikan semula kenangan pembabitan mereka sekali gus berkongsi pengalaman indah era bola sepak Malaysia," katanya.

Kejohanan anjuran bersama kelab Bola Sepak Arena FM, Kelab Bola Sepak Legenda Melaka, MUSA dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan kaum.

Beliau berkata, penyertaan yang diterima amat menggalakkan membuktikan bola sepak masih menjadi pilihan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama komuniti veteran walaupun sudah lama meninggalkan era gemilang masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 4:06 AM