CONTE berang pasukannya tidak cukup rehat. -Foto EPA
CONTE berang pasukannya tidak cukup rehat. -Foto EPA
AFP

PENGURUS Chelsea, Antonio Conte mendakwa pasukannya menjadi mangsa konspirasi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Katanya, susunan jadual perlawanan yang tidak adil jelas menganggu aksi persembahan anak buahnya apabila terpaksa bertemu Newcastle United di Stamford Bridge malam ini selepas mengalahkan Swansea City 1-0 pada Rabu.

Dengan Newcastle yang bermain 24 jam lebih awal daripada Chelsea ketika menentang West Bromwich Albion Selasa lalu, Conte ternyata berang dengan situasi itu apabila pasukannya mendapat rehat kurang daripada lawan mereka.

Sebelum ini, Conte pernah mengadu mengenai jadual padat yang terpaksa ditempuh Chelsea di mana mereka terpaksa berdepan tiga pasukan terkuat iaitu Manchester City, Watford dan Liverpool selain aksi di Liga Juara-Juara Eropah.

“Ini bukan satu kebetulan (jadual EPL), malah agak sukar untuk diterima,” kata Conte.

“Ini kali keempat.. Saya tidak bodoh, jika mahu bergurau dengan saya, anda silap dan saya bukan jenis yang suka berjenaka.

“Sekali mungkin boleh berlaku, dua kali pun boleh berlaku. Tetapi apabila masuk kali ketiga, ia menghairankan. Dalam 14 perlawanan, nampaknya sudah empat kali ia berlaku.

“Setiap pasukan mungkin berdepan masalah sama (susunan jadual berat sebelah), namun sejak awal musim lagi saya hanya melihat Chelsea saja menghadapi situasi seperti ini,” kata pengendali yang berasal dari Itali itu.

Isu berkenaan bukanlah sesuatu yang asing apabila sebelum ini pengurus Manchester United, Jose Mourinho turut mendakwa menjadi mangsa jadual perlawanan yang agak memeritkan.

“Saya bukannya meminta jadual yang lebih mudah kepada kami. Jika kami perlu bermain setiap dua hari, saya tidak kisah tetapi biarlah lawan kami juga turut melalui jadual yang sama.

“Adakah sukar untuk melakukan ini? Saya tidak fikir begitu. Ini satu kebetulan yang pelik.

“Saya cuba melindungi kelab saya, pemain saya, peminat dan mungkin juga liga,” katanya yang berjaya membimbing Chelsea untuk juara EPL musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 4:53 PM