SAUFI (kanan) bersemangat bantu Pahang hadapi musim baru.
SAUFI (kanan) bersemangat bantu Pahang hadapi musim baru.
Asrol Awang


SAUFI Mohammad tidak mahu terus dibayangi penjaga gol pengalaman, sebaliknya berazam untuk merampas tempat selaku penjaga gol utama skuad Pahang musim depan.

Penghijrahan Wan Azraei Wan Teh ke Terengganu diharap membantu pemain kelahiran Temerloh itu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaga gol berpengalaman itu.

Namun, Saufi tidak menafikan peluangnya merebut tempat begitu sengit memandangkan skuad Tok Gajah masih memiliki Helmi Eliza Elias yang juga bekas penjaga gol kebangsaan.

“Saya harap rezeki akan menyebelahi musim 2018 selepas menyarung jersi skuad Tok Gajah sejak 2014. Sebagai pemain, saya sememangnya mahu diturunkan selaku penjaga gol utama.

“Memandangkan musim ini pasukan percaya dengan kemampuan Azraei dan Helmi, peluang untuk saya beraksi tipis. Tapi, saya yakin 2018 adalah masanya untuk membuktikannya.

“Jika diberi peluang, saya akan memanfaatkannya sebaik mungkin dan perlu lebih bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar nanti,” katanya.

Saufi mula menyarung jersi Pahang pada 2014 namun pemain berumur 25 tahun itu tidak diturunkan selaku penjaga gol sepanjang musim ini kecuali tiga penampilan pada musim lalu.

Mengulas keputusan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengekalkannya dalam skuad Pahang musim depan, dia berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan.

Katanya, kepercayaan itu akan dibalas dengan meningkatkan lagi ketangkasan dan kemahiran selaku benteng terakhir skuad Tok Gajah.

“Saya gembira apabila pengurusan (PBNP) masih memberi kepercayaan dan segalnya akan dilakukan dengan lebih baik terutama sokongan daripada jurulatih dan rakan sepasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 1:45 PM