BELLAMY (dua dari kiri) bakal teraju Wales bersama Hartson.
BELLAMY (dua dari kiri) bakal teraju Wales bersama Hartson.
Reuters

LONDON: Bekas pemain Wales, Craig Bellamy dan John Hartson bersemangat untuk mengemudi skuad kebangsaan negara itu susulan peletakan jawatan Chris Coleman, minggu lalu.

Coleman yang membimbing pasukannya ke separuh akhir Euro 2016 di Perancis meletakkan jawatan selepas gagal membawa Wales ke pusingan akhir Piala Dunia di Russia tahun depan.

Beliau kemudian dilantik pengurus kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Sunderland, Ahad lalu.

Bekas penyerang Manchester City dan Liverpool, Bellamy yang mempunyai 78 penampilan bersama skuad kebangsaan percaya pengalamannya menjadi jurulatih di peringkat remaja dan bermain dengan kebanyakan pemain dalam skuad Wales ketika ini menjadikannya pilihan tepat untuk tugas itu.

“Saya seorang warga Wales yang bersemangat. Ia adalah kemuncak bagi saya dan jelas saya sentiasa berminat dengan tugas itu,” kata Bellamy kepada Sky Sports.

“Ia jawatan yang bagus jadi saya yakin ia menarik minat ramai.”

Rakan sepasukannya, Hartson yang memiliki 51 penampilan dengan Wales percaya liputan menyeluruhnya bersama skuad kebangsaan selain menjadi pencabar jawatan itu dengan Gary Speed pada 2007 menjadikannya sebagai calon pilihan.

Hartson, 42, berkata beliau sanggup “berjalan di atas gelas yang pecah bagi jawatan itu” tetapi percaya namanya bukan calon pilihan Persatuan Bolasepak Wales.

Beliau menjangkakan bekas pengurus West Bromwich Albion, Tony Pulis sebagai pengganti terbaik Coleman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 11:00 PM