GUARDIOLA anggap City sebagai pasukan biasa dalam saingan UCL. FOTO/AFP
GUARDIOLA anggap City sebagai pasukan biasa dalam saingan UCL. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER: Walaupun menyerlah dalam saingan domestik, Pep Guardiola berkata Manchester City masih belum boleh dilabel sebagai pencabar kejuaraan Liga Juara-Juara musim ini.

Tampil dengan rekod 18 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan, pendahulu Liga Perdana Inggeris itu dijadualkan bertemu Feyenoord, awal pagi Rabu ini waktu Malaysia.

Kemenangan akan meletakkan pasukan itu di dalam landasan terbaik untuk memburu kejuaraan di pentas Eropah - pertandingan yang belum pernah dimenanginya pada penampilan sebelum ini.

Malah jurulatih Napoli, Maurizio Sarri dan pengendali Leicester City, Claude Puel turut melabel City sebagai pasukan terbaik di pentas Eropah, namun Guardiola berterusan bersikap merendah diri.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kedua-duanya,” kata Guardiola yang memuji Sarri dan Puel.

GUARDIOLA (tengah) sedang memantau sesi latihan Citizens.     FOTO/AFP
GUARDIOLA (tengah) sedang memantau sesi latihan Citizens. FOTO/AFP

“Bagi Manchester City, pasukan ini masih perlu sejarah di pentas Eropah, iaitu memenangi perlawanan besar.

“Itu tidak bermakna kami sebagai pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara namun ia bagus buat pasukan. Ia bermakna kami sedang melakukannya dengan baik.

“Apa pun, orang biasanya akan mengatakan Barcelona, Bayern Munich dan Real Madrid sebagai pasukan pilihan. Apabila orang turut menyenaraikan City dalam kelompok itu, ia satu penghargaan.”

Guardiola kehilangan khidmat pertahanan England, John Stones untuk tempoh enam minggu, selain Vincent Kompany dan beberapa pemain pertahanan tengah lain ekoran kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 12:24 AM