KETUA Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim menyampaikan pingat dan replika cek kepada juara larian maraton penuh kategori wanita kepada Valentine Jepkemoi Serem pada majlis penyampaian hadiah KUL Marathon 2017 di KLIA. -Foto MOHD FADLI HAMZAH
KETUA Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim menyampaikan pingat dan replika cek kepada juara larian maraton penuh kategori wanita kepada Valentine Jepkemoi Serem pada majlis penyampaian hadiah KUL Marathon 2017 di KLIA. -Foto MOHD FADLI HAMZAH
Mohd Khairie Khalid


PELARI negara, Lili Suhairi Md Yang Ghazali dan Valentine Jepkemoi Serem dari Kenya masing-masing dinobatkan selaku juara Terbuka Lelaki dan Terbuka Wanita pada KUL Marathon 2017 yang berlangsung di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.

Lili Suhairi menampilkan kelas tersendiri apabila berjaya menamatkan saingan untuk jarak sejauh 42 kilometer (km) dengan hanya memerlukan 3 jam, 9 minit, 40 saat, manakala Valentine mengakhiri cabaran Terbuka Wanita dengan catatan masa 3’29:10.

Kemenangan itu membolehkan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 serta trofi.

Lili Suhairi, 34, yang berkhidmat sebagai jurulatih renang di sebuah pusat swasta di Selangor berkata, dia teruja dengan pencapaian yang dilakar pada hari ini, sekali gus berharap mampu mempertahankan kejuaraan jika masih berpeluang menyertainya pada tahun depan.

“Saya cukup gembira. Ini adalah kali pertama saya berlari di sekitar lapangan terbang dan ia begitu istimewa berbanding penyertaan dalam acara maraton di lokasi lain.

“Apa yang menarik dalam kejohanan ini adalah daripada segi laluan, kerana saya dapat menikmati udara yang segar, apatah lagi lapangan terbang berada jauh dari kawasan bandar.

“Jika jarak untuk larian ini (42km) dikekalkan pada tahun depan, Insya-Allah saya akan terus mengambil bahagian,” katanya sambil memaklumkan dia tiba di lokasi pelepasan peserta kira-kira jam 1.30 pagi dari Petaling Jaya.

KUL Marathon adalah anjuran sulung Malaysia Airports Holding Berhad (Malaysia Airports), bermula kira-kira jam 3 pagi tadi sempena sambutan ulang tahun ke-25.

Selain peserta tempatan yang memonopoli larian, pelari lain yang turut mengambil bahagian ialah dari China, Filipina, Kenya, Brunei, Jepun dan Singapura.

Penganjuran sulung itu berjaya menarik perhatian 3,000 pelari yang mengambil bahagian dalam empat kategori iaitu 42 km, 25km, 10km dan 3km membabitkan laluan sekitar kawasan KLIA.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali berkata, secara keseluruhannya, beliau berpuas hati secara di atas kejayaan penganjuran maraton yang mengelilingi kawasan lapangan terbang.

“Kita amat bangga kerana acara unik ini berlangsung berdekatan lapangan terbang dan peserta maraton penuh iaitu 42 km juga dapat menyaksikan pesawat berlepas dan mendarat ketika sedang berlari.

“Insya Allah kita rancang untuk jadikan ia sebagai acara tahunan, malah kita juga sedang mengkaji untuk menganjurkan acara berbasikal di kawasan sama,” kata Badlisham ketika ditemui, di sini, hari ini.

KUL Marathon 2017 turut menyaksikan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) bertindak selaku rakan media rasmi kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 2:05 PM