INDRA (kiri) ada dalam senarai pemain KLFA. -Foto fail
INDRA (kiri) ada dalam senarai pemain KLFA. -Foto fail
Zulfaizan Mansor


KETIKA Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dilaporkan sedang berunding dengan Indra Putra Mahayuddin, terdapat perkhabaran pemain veteran itu turut berada dalam perhatian skuad Kuala Lumpur.

Namun, tiada kata putus lagi daripada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dengan jurulatihnya, Fabio Joaquim Maciel sedang dalam proses penilaian untuk memilih barisan pemain terbaik.

Mengikut sumber, Indra yang bakal mencecah usia 37 tahun pada musim depan hanya disenaraipendek oleh KLFA bagi memperkuatkan skuad juara Liga Perdana itu untuk bersaing dalam Liga Super musim depan.

“Memang dia ada dalam senarai KLFA sebagai pemain untuk skuad Kuala Lumpur musim depan kerana kita tahu kemampuan Indra walaupun sudah berusia.

“Tapi ia masih di peringkat penilaian dan segala keputusan hanya akan ditentukan oleh Fabio dalam memilih barisan terbaik untuk skuad Kuala Lumpur.

“Kuala Lumpur memerlukan barisan terkuat kerana akan bersaing dalam Liga Super, tapi setakat ini sebahagian besar pemain mungkin akan dikekalkan,” kata sumber itu.

Semalam, KAFA dilaporkan mengikat kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi untuk semusim lagi bersama pasukan itu sementara status Indra masih berada dalam proses rundingan terakhir.

Indra menjadi antara pemain disayangi peminat bola sepak Kelantan selepas membantu mencipta beberapa kejayaan termasuk paling manis pada musim 2012 apabila mencatat trebel dengan menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 5:43 PM