VINGADA (tengah) gagal tamatkan kemarau kemenangan buat Harimau Malaya. -Foto fail
VINGADA (tengah) gagal tamatkan kemarau kemenangan buat Harimau Malaya. -Foto fail
Devinder Singh


KETIKA Nelo Vingada terus menerima sokongan di sebalik kegagalan skuad kendaliannya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019, prestasi pengendali dari Portugal itu sebenarnya paling buruk daripada mana-mana jurulatih kebangsaan dalam tujuh perlawanan sejak lebih 30 tahun lalu.

Berikutan kekalahan 4-1 Malaysia di tangan Korea Utara pada perlawanan Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia di Buriram, Isnin lalu, Vingada yang dilantik sejak Mei lalu gagal mengukir sebarang kemenangan apabila barisannya hanya mampu mencatat dua kali seri dan tewas dalam lima perlawanan.

Hanya Ahmad Shafie dan Hatem Souissi gagal mencipta kemenangan dalam perlawanan selaku jurulatih Harimau Malaya sejak lebih tiga dekad lalu tetapi kedua-duanya hanya bertanggungjawab dalam empat perlawanan sebelum digantikan.

Norizan Bakar juga melalui enam perlawanan tanpa kemenangan pada 2006 tetapi memastikan skuad kendaliannya melakar kemenangan pertama dalam percubaan ketujuh tahun berikutnya dengan menewaskan Filipina 4-0 pada Piala AFF di Bangkok.

Kekalahan di Buriram menyaksikan pasukan kebangsaan menamatkan kalendar tahun ini tanpa kemenangan buat pertama kali sejak 2006 apabila meneruskan rentetan 10 kekalahan sejak menewaskan Kemboja 3-2 pada Piala AFF November lalu.

Ia adalah rentetan perlawanan tanpa kemenangan terpanjang skuad kebangsaan sejak 2003-04 di bawah kendalian Allan Harris dan K Rajagobal, yang kemudiannya dilantik selaku pemangku, ketika mereka bersama dengan 10 perlawanan tanpa menang.

Tempoh yang sukar itu menyaksikan Malaysia bermain lima kelayakan Piala Asia, tiga kelayakan Piala Dunia dan dua perlawanan persahabatan tanpa kemenangan sebelum melantik pengendali dari Hungary, Bertalan Bicskei yang memberikan Malaysia kemenangan pertama berdepan Singapura dalam perlawanan persahabatan.

Kedudukan Vingada tampak akan kekal walaupun mencipta ‘rekod hitam’ bola sepak negara dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertahankan jurulatih itu, Selasa lalu.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga menerima tekanan terhadap prestasi buruk Vingada dengan mengakui bertanggungjawab selepas kekalahan 4-1 di tangan Korea Utara pada kelayakan pertama Jumaat lalu.

“Selaku Presiden FAM, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan pasukan kebangsaan hari ini (10 November) dan kekalahan selepas ini,” kata Tunku Ismail dalam kenyataan di laman Facebook FAM.

“Sebaik saja pasukan kembali dari Thailand, saya akan mengadakan pertemuan dengan pengarah teknikal dan membuat keputusan untuk memperbaiki pasukan kebangsaan dalam semua aspek.”

FAM selepas itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, membiarkan Vingada meneruskan tugas dengan pasukan kebangsaan sehingga berdepan Lubnan pada kelayakan Piala Asia di Beirut pada 27 Mac tahun depan.

Vingada mesti berdepan satu lagi kemerosotan kedudukan pasukan kebangsaan dalam ranking FIFA selepas dua kekalahan kepada Korea Utara menyebabkan Malaysia hilang 15 mata mengikut format perkiraan.

Ketika FIFA akan mengeluarkan kedudukan terkini pada 23 November ini, Malaysia yang kini berkedudukan ke-170 boleh terjatuh ke kedudukan lebih buruk daripada rekod sebelum ini, ke-174 dengan hanya berbekal 95 mata.

INFO

Prestasi jurulatih kebangsaan dalam tujuh perlawanan pertama peringkat antarabangsa (tidak termasuk pemangku)

P M S K J B

Nelo Vingada (2017) 7 0 2 5 5 16

Ong Kim Swee (2015-16) 7 2 1 4 5 14

Dollah Salleh (2014) 7 1 1 5 8 16

K Rajagobal (2009) 7 1 3 3 8 8

B Sathianathan (2007-08) 7 3 3 1 17 7

Norizan Bakar (2006-07) 7 1 3 3 7 6

Bertalan Bisckei (2004) 7 4 0 3 12 11

Allan Harris (2001) 7 2 1 4 6 13

Abd Rahman Ibrahim (1999)7 2 1 4 7 19

Hatem Souissi (1998) 4 0 2 2 1 4

Wan Jamak Hassan (1996) 7 2 3 2 15 10

Claude Le Roy (1994) 7 1 1 5 8 17

Ken Worden (1992) 7 2 3 2 6 9

Rahim Abdullah (1991) 7 1 3 3 7 8

Ahmad Shafie (1990) 4 0 1 3 0 7

Trevor Hartley (1989) 7 3 1 3 8 8

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 7:17 PM