RONALDO yakin Real pasti bangkit semula buru kemenangan. FOTO/AFP
RONALDO yakin Real pasti bangkit semula buru kemenangan. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Cristiano Ronaldo menolak dakwaan wujudnya krisis di Real Madrid selepas juara Eropah dan Sepanyol itu tewas 1-3, dalam penampilan pertama di Stadium Wembley berdepan Tottenham Hotspur, pagi tadi.

Pemain Portugal itu menjaringkan gol keenam peribadinya dalam Liga Juara-Juara tahun ini, dan ke-111 secara keseluruhan.

Namun, ia hanya gol sagu hati ketika Real tidak mampu memberi ancaman dalam penampilan pertama mereka di stadium yang menjadi ikon England.

Kekalahan menyebabkan Real berkedudukan kedua Kumpulan H, tiga mata di belakang Tottenham yang akan memastikan tempat teratas jika mereka menang satu daripada dua baki perlawanan kumpulan.

Selepas ini, Spurs akan beraksi di tempat lawan menentang Borussia Dortmund dan aksi di laman sendiri bertemu APOEL Nicosia.

Skuad kendalian Zinedine Zidane juga ketinggalan lapan mata di belakang Barcelona selepas 10 aksi La Liga, apabila kalah mengejut di tangan Girona hujung minggu lalu – keputusan yang memberikan Real permulaan paling buruk dalam liga domestik sejak lima tahun.

“Anda tidak boleh sentiasa berada di tahap terbaik – ada masa yang bagus dan ada masa yang teruk,” kata Ronaldo yang tidak pernah melihat pasukannya tewas berdepan Tottenham, termasuk 11 perlawanan menentang kelab London itu ketika bersama Manchester United.

RONALDO (tengah) ketika menjaringkan gol untuk Real. FOTO/AFP
RONALDO (tengah) ketika menjaringkan gol untuk Real. FOTO/AFP

“Kami tenang. Apa yang dikira ialah penghujung (musim), bukan apa yang berlaku ketika ini. Kami perlu kekal tenang.

“Kami tidak berada pada tahap terbaik – kami perlu menerimanya dan terus bekerja keras. Kami boleh tewas tiga empat lima perlawanan dan masih boleh memikirkan tiadanya krisis.

“Kami melalui tempoh yang teruk dan kami mahu mengubahnya. Perjalanan kami masih panjang untuk melakukannya tetapi saya yakin kami boleh melakukannya.

“Bola sepak ialah mengenai kemenangan tetapi orang melupai perkara bagus yang skuad ini lakukan beberapa bulan lalu. Saya tenang.

“Saya tidak rasa ia adalah persoalan karektor. Kami tidak menyembunyikannya, kami akan berusaha menterbalikkan keadaan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 11:56 AM