Naqib Nor Said


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) disaran supaya tidak terus menjadikan bola sepak sebagai ‘anak emas’ tatkala sukan lain turut memerlukan dana yang besar dalam merancakkan program pembangunan sukan terbabit.

Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (VIPERS), Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii (gambar), berkata langkah ini perlu memandangkan ada beberapa sukan mengalami masalah kejatuhan prestasi gara-gara kurangnya program pembangunan menyeluruh.

Malah, beliau percaya hanya dengan memberi dana yang sama rata sudah cukup untuk memastikan misi Malaysia untuk meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik akan tercapai kerana ada antara sukan-sukan ini mempunyai atlet berpotensi untuk dibangunkan.

“Sebagai sukan nombor satu negara, bola sepak sebenarnya tidak berdepan masalah untuk menjana pendapatan sendiri menerusi penerimaan tajaan yang besar dan hasil jualan tiket stadium.

“Jadi untuk peruntukan RM 1 bilion bagi sukan, saya harap agar pembahagiannya lebih mengutamakan beberapa sukan lain yang selama ini kita lihat agak merundum disebabkan tiada program pembangunan yang menyeluruh.

“Saya percaya menerusi peruntukan yang lebih besar dan sama rata ini akan merancakkan semula program

pembangunan sukan untuk lain-lain sukan,” katanya pada majlis Anugerah Sukan VIPERS 2015/16 di sini, semalam.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2018 mengumumkan peruntukan RM 1 bilion meliputi penganjuran program FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlet, program akar umbi dan pembangunan bola sepak negara.

Walaupun lebih rendah RM 200 juta berbanding Bajet 2017, tetapi ia dilihat sebagai peruntukan lebih besar buat atlet kerana untuk bajet tahun ini, daripada jumlah itu, RM 450 juta disalurkan untuk penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017.

Apapun, Mohd Razlan menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri kerana terus prihatin dalam menyalurkan dana yang lumayan untuk sukan.

Selain itu, kerajaan juga turut mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara dengan kosnya mencapai RM 112 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 5:25 PM