AKRAM (kiri) diasak pemain JDT Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak (kanan) pada Perlawanan Liga Super diantara Kedah menentang JDT di Stadium Darul Aman. -Foto SHARUL HAFIZ ZAM
AKRAM (kiri) diasak pemain JDT Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak (kanan) pada Perlawanan Liga Super diantara Kedah menentang JDT di Stadium Darul Aman. -Foto SHARUL HAFIZ ZAM
Syafiq Aznan dan Izzali Ismail


“TAK main pun tiada masalah, asalkan pasukan kami menang,” kata pemain tengah Kedah, Akram Mahinan menjelang aksi final Piala Malaysia, di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Pemain kelahiran Kulim ini bersedia untuk berkorban bagi memberi laluan kepada pengendali skuad Helang Merah, Nidzam Adzha Yusoff membentuk kesebelasan utama dalam usaha membenam cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagaimanapun, pemain berusia 24 tahun itu mengakui dia tetap mengimpikan peluang untuk beraksi pada pentas final perlawanan berprestij berkenaan, sekalipun perlu beraksi sebagai pemain gantian.

“Tidak dapat beraksi dalam kesebelasan utama pun tiada masalah, kerana kemenangan berpasukan adalah misi utama kami.

“Apapun, jika pengendali percayakan saya untuk beraksi, saya sudah bersedia untuk mengerah sepenuh keringat.

“Semangat saya begitu membara bagi memastikan Piala Malaysia dapat dikekalkan di bumi Darul Aman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada masa sama, bekas pemain JDT itu menjelaskan kejayaan merangkul Piala Malaysia menjadi penutup yang terbaik buat pasukan Kedah sekaligus menandakan musim penuh cemerlang buat mereka pada musim ini.

Katanya, Piala Malaysia akan melengkapkan koleksi piala domestik yang dimenangi Kedah selepas menjulang Piala Sumbangsih dan Piala FA, pada musim ini.

“Kita tahu tidak mudah untuk menentang JDT, tetapi peluang tetap seimbang 50-50.

“Jika dilihat menerusi pertembungan Liga Super pada Sabtu lalu, kita mampu memberi tentangan dan kita bersedia untuk memberikan cabaran yang sengit kepada mereka pada final itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 7:26 PM