CHONG Wei (kiri) dipantau jurulatih perseorangan badminton negara Misbun di Akademi Badminton Negara Bukit Kiara. -Foto fail
CHONG Wei (kiri) dipantau jurulatih perseorangan badminton negara Misbun di Akademi Badminton Negara Bukit Kiara. -Foto fail
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: “Dia masih cergas dan ini hanya disebabkan terbawa-bawa dengan terlampau fikir faktor usia,” kata ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek selepas diminta mengulas mengenai kekalahan awal Datuk Lee Chong Wei (gambar) di Terbuka Perancis kelmarin.

Menurut legenda perseorangan lelaki negara itu, jika dilihat dari soal kecergasan, anak buahnya itu masih lagi berada pada tahap terbaik cuma yang dibimbangkan sekarang ini adalah bekas pemain nombor satu dunia itu cuba untuk mengubah permainan sebelum turun ke gelanggang.

“Sebenarnya dia (Chong Wei) terbawa-bawa dengan memikirkan usianya. Sebagai contoh dia fikir sudah berumur dan cuba untuk memperlahankan permainan. Jangan ubah selagi dia berada di tempat itu (pemain terbaik). Kalau hendak ubah sekali pun hanya sedikit saja,” katanya ketika ditemui di Pusat Sukan Universiti Malaya (UM) semalam.

Jelasnya, masalah yang dihadapi Chong Wei sekarang ini ialah pemain itu sudah mula mahu mengubah corak permainannya sedangkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Buat masa sekarang kita harus tahu keinginan dan persiapannya. Jika ada keinginan tapi belum bersiap, tidak boleh juga. Dia sudah berada di situ (pemain terbaik) cuma jangan ada elemen yang mengganggu fikirannya. Kalau dapat hindarkan perkara itu dan tahu arah tuju sebenar, kejuaraan untuknya akan tiba.

“Saya nasihatkan kepada Chong Wei supaya kaji balik apa yang berlaku kepada dirinya. Dalam situasi ini dia harus faham pemain lawan sentiasa mengkaji. Bermula dari Chen Long (China) lagi mereka sudah mengkaji permainannya,” kata Misbun.

Kelmarin, Chong Wei tewas buat kali keempat di pusingan awal selepas Terbuka Indonesia, Kejohanan Dunia dan Terbuka Denmark, kali ini kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto 14-21, 15-21 di pusingan pertama Terbuka Perancis.

Menurut Misbun, Chong Wei perlu atasi apa masalah sebenar yang mengganggu fikirannya dan daripada segi permainan pula harus ambil perhatian serta perbaiki setiap aspek.

“Saya harap dia lebih peka kerana pernah menjadi ‘Raja Siri Super’, paling penting dia tidak putus asa dan bekerja keras lagi untuk mencari tahap terbaik ketika berdepan generasi pemain baru.

“Saya ada berkomunikasi dengannya dan saya minta dia terima kekalahan dalam keadaan tenang. Ia hanya satu perlawanan saja. Banyak atlet terbaik di dunia yang jatuh secara tiba-tiba. Sekarang dia perlu mengatasi situasi ini dalam keadaan lebih terbuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 2:09 PM