DUBI mendapati kekurangan  pencalonan untuk menganjurkan Olimpik  punca IOC untuk mengurangkan kos penganjuran. FOTO/AFP.
DUBI mendapati kekurangan pencalonan untuk menganjurkan Olimpik punca IOC untuk mengurangkan kos penganjuran. FOTO/AFP.
AFP

PARIS: Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mahu memotong kos penganjuran bagi Olimpik Musim Sejuk 2026 sebanyak 30 peratus dengan mengurangkan tempoh kempen dua tahun menjadi setahun kepada tuan rumah yang berpotensi.

“Ketika kami melihat kepada pencalonan itu sendiri, kami berpendapat kami dapat mengurangkan kos penganjuran sebanyak 30 peratus,” kata Pengarah Sukan Olimpik di IOC, Christophe Dubi.

IOC kini berdepan kekurangan pencalonan untuk menganjurkan Olimpik Musim Panas dan juga Olimpik Musim Sejuk.

Bagi Olimpik Musim Sejuk 2022, hanya tinggal dua calon saja iaitu Almaty (Kazakhstan) dan Beijing (China) selepas Munich (Jerman) serta Oslo (Norway) menarik diri daripada bertanding.

Bagi Olimpik Musim Panas 2024 pula, Boston (Amerika Syarikat), Hamburg (Jerman), Rome (Itali) dan Budapest (Hungary) sudah menarik diri sekali gus meninggalkan hanya Paris (Perancis) serta Los Angeles (Amerika Syarikat) yang akan bertanding untuk merebut hak penganjuran temasya berkenaan.

Awal minggu ini, kerajaan Switzerland menyatakan kesediaan untuk melabur bagi menganjurkan Sukan Olimpik 2026 sekali gus meningkatkan peluang untuk Sion bertanding bagi Olimpik Musim Sejuk.

Sion kerap kali disenaraikan sebagai tuan rumah berpotensi untuk temasya 2026 dengan bandar raya yang berminat akan membentangkan pelannya secara rasmi pada 2019.

Bagaimanapun, satu lagi negeri, Tyrol menentang bidaan Innsbruck untuk temasya 2026 selepas bimbang dengan beban kewangan dan impak kepada alam sekitar.

“Mengenai temasya itu sendiri, ia masih lagi dianggap berjaya,” kata Gubi.

“Namun, memang ada persoalan mengenai kos untuk penganjuran Sukan Olimpik. Contohnya untuk Innsbruck, ia membabitkan kos setinggi AS$1.2 bilion (RM5.06 bilion) namun pelaburannya tidak begitu memuaskan.

“Perkara seperti inilah yang kita mahu pertimbangkan pada masa hadapan. Apabila tiba masa untuk membida, kita mahu kurangkan kos sehingga 30 peratus berbanding kos penganjuran sebelumnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 10:57 AM