RTM janjikan siaran terbaik temasya sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.
RTM janjikan siaran terbaik temasya sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.
Ridzuan Abdul Rahman


Temasya sukan Olimpik sememangnya dinanti-nantikan oleh semua peminat sukan di seluruh dunia.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) tahun ini diberi kepercayaan menjadi penyiar rasmi untuk temasya sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 yang berlangsung sejak 4 Februari lalu sehingga 20 Februari depan di Beijing, China.

Bagi membalas kepercayaan yang diberikan, RTM menjanjikan siaran terbaik bagi tontonan jutaan rakyat Malaysia selaras dengan tagline sukan untuk semua.

Pastinya tahun ini akan terus menjadikan RTM organisasi media yang sentiasa peka dan maklum dengan kehendak rakyat Malaysia yang mahu mengikuti perkembangan atlet Malaysia di Beijing, China.

Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 adalah penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk pertama di China dan penganjuran Sukan Olimpik yang ketiga di negara terbabit.

Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 adalah penganjuran edisi terakhir daripada tiga Sukan Olimpik yang diadakan berturut-turut di Asia Timur.

DUA peserta negara iaitu Jeffrey dan Aruwin yang bertanding di temasya Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.
DUA peserta negara iaitu Jeffrey dan Aruwin yang bertanding di temasya Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022.

Menerusi pemilihan yang dibuat pada 31 Julai 2015 ketika sesi IOC ke-128 yang dianjurkan di Kuala Lumpur, tiga bandar terakhir yang tersenarai sebagai tuan rumah ialah Almaty, Beijing dan Oslo.

Beijing kemudian diumumkan sebagai tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Liputan siaran langsung Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 bermula sejak 4 Februari lalu hingga 20 Februari depan dengan upacara perasmian di saluran TV2 dan saluran Sukan RTM, 111 Myfreeview pada jam 7.55 malam.

Seterusnya penonton dapat mengikuti Laporan Harian Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 yang disiarkan tiga sesi setiap hari menerusi saluran Sukan RTM bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, jam 2 hingga 5 petang dan sebelah malam jam 8 hingga 10 malam.

Manakala, rangkuman harian Olimpik Musim Sejuk bersiaran pada jam 8 pagi dan 11 malam.

Bagi memberikan kepuasan kepada penonton, pengulas terbaik RTM diamanahkan untuk memberi ulasan sepanjang temasya Olimpik Musim Sejuk Beijing berlangsung.

ACARA Alpine Skiing paling dinantikan.
ACARA Alpine Skiing paling dinantikan.

Mereka terdiri daripada Rasdi Jumaat, Syafiq Asyraf dan Dr Harmi Taazim.

Sementara itu, siaran kali ini turut membabitkan pengacara berpengalaman RTM iaitu Nazrie Fahmi, Jeed Zulkefli, Ninie Ibrahim dan Zackhi Ahmad Suri.

Antara yang paling dinantikan adalah acara Alpine Skiing di mana Malaysia turut menghantar penyertaan dua atlet iaitu Jeffrey Webb, 23, yang bertanding dalam kategori slalom lelaki dan Aruwin Idami Salehhuddin, 17, bagi kategori slalom dan giant slalom wanita.

Kali terakhir RTM menyiarkan temasya ini ialah pada 2018 iaitu di Pyeong Chang Korea Selatan.

Siaran langsung liputan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 yang diterbitkan sepenuhnya oleh pasukan penerbitan Unit Sukan TV RTM ini juga dapat ditonton melalui laman web rtmklik.rtm.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 6:43 AM