SANE (kanan) menewaskan penjaga gol Palace Wayne Hennessey. - Foto AFP
SANE (kanan) menewaskan penjaga gol Palace Wayne Hennessey. - Foto AFP
AFP

MANCHESTER, England: Pep Guardiola mencabar pemain bintang Manchester City supaya terus menyengat ketika mereka dilihat mampu mengekalkan kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris.

Pasukan kendalian Guardiola mengatasi Manchester United menerusi perbezaan gol selepas membenam pasukan tercorot Crystal Palace 5-0 di Eastlands, malam tadi.

City kini menjaringkan 16 gol dalam tiga aksi liga divisyen utama namun Guardiola meminta lebih banyak daripada pemainnya selepas mereka bergelut untuk menterjemahkan dominasi mereka kepada gol pada babak pertama.

“Tiada siapa mahu mengambil bola dan mula bermain, jadi ia mengambil masa lima atau 10 saat sebelum seseorang bergerak dan mengambil bola itu,” katanya.

“Apabila ia berlaku, semua perkara akan lembap. Budak pengutip bola lembap, setiap orang lembap.

“Kami perlu lebih kreatif dan mencipta situasi yang tidak kami cetuskan dalam babak pertama.”

Persembahan City selepas rehat melegakan Guardiola dan menghampiri apa yang dimahukannya menjelang kunjungan pasukannya ke Shakhtar Donetsk dalam aksi Liga Juara-Juara, Selasa ini.

“Saya amat mengenali Shakhtar ketika saya di Barcelona dan Bayern Munich, kami bermain banyak kali,” katanya.

“Mereka mampu mengalahkan satu daripada pasukan terbaik dunia ketika ini, bermain bola sepak menentang Napoli.

“Kami tidak boleh terganggu kerana dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara kami perlu berwaspada.”

Leroy Sane membuka tirai jaringan buat City di Stadium Etihad pada minit ke-44 sebelum Raheem Sterling menyumbang dua gol (m-51 dan 59) diikuti gol Sergio Aguero (m-79) dan pemain gantian Fabian Delph (m-89).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 12:32 PM