JARINGAN Forsberg mengamatkan penyokong Laipzig.
JARINGAN Forsberg mengamatkan penyokong Laipzig.
AFP

LEIPZIG, Jerman: Youri Tielemans menyamakan kedudukan seminit selepas gol pembukaan Emil Forsberg buat RB Leipzig bagi memastikan juara Perancis, AS Monaco seri 1-1 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Ketika Leipzig melakukan penampilan sulung dalam pertandingan itu, gol sumbangan Forsberg menggamatkan Arena Red Bull.

Ia tercatat dalam sejarah sebagai perlawanan pertama kelab itu dalam pertandingan utama bola sepak Eropah, sekalipun ia mungkin bukannya yang terakhir.

“Sesuatu yang istimewa untuk menjaringkan gol sulung Leipzig dalam Liga Juara-Juara,” kata Forsberg selepas perlawanan. “Saya amat bangga.”

Di sebalik kurang pengalaman di peringkat itu, Leipzig dilihat tidak terjejas dalam aksi Kumpulan G itu.

Pemain remaja Dayot Upamecano menyerlah di benteng pertahanan manakala penyerang Timo Werner dilihat berbahaya di bahagian depan.

Tatkala benteng Monaco kelihatan utuh dan pemain sayap mereka Djibril Sidibe dan Adama Diakhaby bergelut untuk meledak menerusi serangan balas pantas, tidak banyak peluang boleh diperkatakan dalam setengah jam pertama.

Namun pada minit ke-33, Leipzig memecah kebuntuan.

Pemain sayap Sweden, Forsberg menemui ruang di sebelah kiri dan merembat melepasi Diego Benaglio di pintu gol Monaco.

Keseronokan berikutan gol itu tidak berpanjangan apabila hantaran lintang Sidibe menemui Diakhaby, yang menanduk kepada Tielemans untuk menampan masuk melepasi Peter Gulacsi.

“Jurulatih memberitahu saya akan bermain sebagai penyerang kedua dan bercakap kepada saya mengenai posisi dan saya fikir semuanya menjadi buat saya,” ujar Tielemans.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 1:34 PM