Meschke (kanan) sahkan perbincangan bagi menjadi pembekal enjin F1. -Foto Agensi
Meschke (kanan) sahkan perbincangan bagi menjadi pembekal enjin F1. -Foto Agensi
AFP

BERLIN: Porsche tidak menolak kemungkinan kembali dalam saingan perlumbaan Formula Satu sebagai pembekal enjin, kata ketua kewangan syarikat itu Lutz Meschke kepada laman web Motorsport.com.

“F1 mungkin antara landasan tepat. Seperti anda maklum, Formula E sangat penting untuk kami ketika ini dan F1 satu topik yang menarik untuk difikirkan.

“Kami dalam keadaan terbaik untuk memikirkan mengenai perkara itu,” katanya.

Ditanya sama ada perancangan menggunakan teknologi enjin turbo berkembar V6 mampu menarik minat Porsche kembali dalam saingan F1, Meschke berkata: “Sudah pasti.

“Kami perlu mengurangkan perbelanjaan dalam F1 dan ia salah satu langkah terbaik bagi menepati sasaran itu.”

Meschke turut mengesahkan perbincangan bagi menjadi pembekal enjin F1 sedang dijalankan tetapi belum ada penubuhan pasukan untuk mengkaji lebih mendalam mengenai perkara itu.

Porsche ketika ini mempunyai komitmen dalam saingan Formula E sebagai pembekal enjin untuk musim 2019-2020.

Bos komersial F1, Sean Bratches memberitahu Motorsport.com pemilik baru sukan itu, Liberty Media menyambut baik sekiranya Porsche kembali dalam perlumbaan itu pada musim 2021.

“Kami cuba mencipta platform dan suasana bagi membolehkan semua pengeluar enjin dari pelbagai jenama dan pasukan menyertai sukan ini,” kata Bratches.

“Secara peribadi, saya yang melaksanakan kerja pemasaran dan jenama dalam saingan F1, kehadiran semula Porsche pastinya akan memberi nilai yang tinggi.”

Porsche tidak terbabit dengan perlumbaan F1 sejak 1991. Mereka sebelum itu menjadi pembekal enjin kepada McLaren ketika Niki Lauda (1984) dan Alain Prost (1985, 1986) ditabal sebagai juara dunia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 1:30 PM