BALDE ditawarkan kontrak lima tahun  bersama Monaco.
BALDE ditawarkan kontrak lima tahun bersama Monaco.
AFP

MONACO: Juara Perancis, AS Monaco ‘menyerang’ Serie A untuk mengikat penyerang Senegal, Keita Balde dan penyerang kebangsaan Montenegro, Stevan Jovetic semalam, masing-masing dari Lazio dan Inter Milan.

Balde, 22, yang tampil dalam 12 perlawanan antarabangsa, hadir dengan kontrak lima tahun dengan bayaran dilaporkan 30 juta euro (RM153 juta) selepas memukau dengan 16 gol dalam liga utama Itali musim lalu sekalipun hanya bermula dalam 21 perlawanan.

“Saya amat gembira untuk menyertai AS Monaco, kelab dengan sejarah hebat,” katanya.

“Apabila anda berpeluang datang ke sini, anda menerimanya terus. Ia projek yang ideal buat saya. Saya amat gembira menyertai skuad kuat dengan pemain ternama yang melalui musim cemerlang tahun lalu.”

Kapten Montenegro, Jovetic, 27, dijangka menyarung jersi nombor 10 digunakan Kylian Mbappe, dengan pemain sensasi itu semakin hampir berpindah ke Paris Saint-Germain.

Jovetic, yang menandatangani kontrak empat tahun bersama kelab kendalian Leonardo Jardim itu, memulakan karier bersama Partizan Belgrade sebelum menyertai kelab Serie A, Fiorentina.

Dia pernah beraksi dengan Manchester City dan dipinjamkan oleh Inter ke Sevilla musim lalu.

Monaco, yang turut layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu, bermula cemerlang pada awal kempen Ligue 1 bulan ini dan seperti musuh mereka PSG menang semua empat perlawanan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 9:46 AM