Pasukan Thailand yang meraih pingat emas bola sepak selepas menewaskan Malaysia 0-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto ASYRAF HAMZAH
Pasukan Thailand yang meraih pingat emas bola sepak selepas menewaskan Malaysia 0-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto ASYRAF HAMZAH
Aziman Rosdi dan Firdaus Hashim


“TERIMA kasih kepada Malaysia kerana memberi tentangan sengit.

“Saya saya percaya pengalaman beraksi di depan gemuruh sorakan penyokong lawan dapat mematangkan pemain saya," kata jurulatih Thailand, Worrawoot Srimaka.

Kemenangan tipis yang disaksikan hampir 80,000 orang di Stadium Shah Alam itu menyaksikan Thailand mempertahankan pingat emas dimenangi tiga kali berturut-turut sejak 2013 serta kejuaraan ke-16 Sukan SEA sejak 1959.

“Sudah tentu saya gembira dengan kemenangan ini kerana dapat mempertahankan pingat emas, malah hanya dibolosi satu gol (ketika seri 1-1 dengan Indonesia) sepanjang kejohanan ini.

"Semua pasukan memberi saingan sengit kepada kami namun pemain berjaya mengekalkan rentak dan bermain mengikut cara kami," kata Worrawoot yang mempuynyai dua dua pingat emas Sukan SEA iaitu di Jakarta pada 1997 dan Brunei 1999.

Dalam aksi yang disaksikan hampir 80,000 orang itu, pelawat hampir di depan menerusi sepakan sudut pada minit ke-25 namun tandukan Phicha Au-Tra sempat ditepis keluar Muhammad Haziq Nadzli.

Jafri Firdaus Chew yang jarang menerima bola akhirnya berpeluang menguji Nont Muangngam pada minit ke-31 namun tandukan tepat ke dakapan bekas penjaga gol kelab AS Nancy II di Liga Dua Perancis itu.

Thailand akhirnya meraih gol pertama pada minit ke-38 hasil kesilapan Haziq yang tertumbuk bola ke gawang sendiri hasil sepakan sudut Sasalak Haiprakhon untuk mendahului tuan rumah 0-1 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Malaysia tampil dengan aksi lebih bertenaga apabila melancarkan serangan demi serangan ke kubu pelawat.

Bagaimanapun, barisan pertahanan anak buah Worrawoot nyata ampuh bertahan untuk menafikan segala percubaan tuan rumah hingga ke wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2017 @ 11:54 PM