KAPTEN Thailand, Chenrop Samphaodi (tiga dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan selepas menewaskan penjaga gol Myanmar, Sann Sat Naing ketika perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA KL2017 di Stadium Selayang.
KAPTEN Thailand, Chenrop Samphaodi (tiga dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan selepas menewaskan penjaga gol Myanmar, Sann Sat Naing ketika perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan SEA KL2017 di Stadium Selayang.
Firdaus Hashim


THAILAND melangkah ke final acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Myanmar dalam aksi separuh akhir di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hari ini.

Dalam aksi itu, Myanmar nyata menguasai perlawanan dari awal menerusi gerakan berbahaya ke kubu Thailand.

Bagaimanapun strategi bertahan yang diterapkan pengendali skuad Gajah Perang Worrawoot Srimaka membuahkan hasil apabila berjaya mengekang segala asakan jentera serangan Myanmar.

Selepas separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan, Thailand mengubah rentak pada babak kedua dengan mempercepatkan tempoh permainan menerusi hantaran pendek yang berjaya memerangkap barisan belakang Myanmar.

Kapten Thailand Chenrop Samphaodi muncul wira apabila memecah kebuntuan pada minit akhir perlawanan hasil tandukan deras yang gagal diselamatkan penjaga gol Myanmar Sann Sat Naing.

Thailand kini dalam laluan untuk mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut dan yang ke-15 dalam sejarah Sukan SEA.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 7:19 PM