KLOPP jangkakan saingan getir bakal diberikan Arsenal (baju biru hitam). -Foto Reuters
KLOPP jangkakan saingan getir bakal diberikan Arsenal (baju biru hitam). -Foto Reuters
AFP

LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp percaya Arsenal tetap mampu memberikan ujian besar terhadap kekuatan pasukannya sekalipun tidak lagi bersaing dalam Liga Juara-Juara.

Arsenal berakhir di tangga kelima Liga Perdana Inggeris musim lalu dan gagal layak ke pertandingan elit kelab Eropah itu buat kali pertama sejak Arsene Wenger mengambil alih sebagai pengurus pada 1996.

Namun Klopp menegaskan mereka masih antara pasukan terbaik Inggeris dan menjangkakan saingan getir sekalipun menang di laman sendiri dan lawan ke atas Gunners musim lalu.

“Arsenal masih pasukan yang kuat,” kata Klopp menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Anfield malam esok.

“Alexis Sanchez mungkin kembali kali pertama ke padang, jadi ia memberikan pasukannya satu lagi rangsangan dan sudah tentu satu kelebihan buat Arsenal.

“Ia perlawanan yang terlalu penting. Tahun lalu kami mempunyai rekod mengagumkan menentang enam kelab teratas.

“Mereka Arsenal: pengalaman luas, kualiti tinggi, kepantasan, kemahiran teknikal, sistem berbeza, pemain bagus di setiap posisi di tengah padang.”

Liverpool meraih kemenangan play-off Liga Juara-Juara ke atas Hoffenheim awal pagi Khamis lalu dengan persembahan menyerang mengagumkan.

Persoalan timbul mengenai kekuatan benteng pertahanan kelab Merseyside itu sekalipun Klopp mendakwa beliau berpuas hati dengan persembahan bentengnya setakat ini musim ini.

“Saya berpuas hati dengan pertahanan, saya berpuas hati dengan serangan,” ujar bos Liverpool itu.

“Kami menang tiga perlawanan dan sepatutnya menang aksi pertama di Watford tanpa persembahan sempurna. Kini kami berdepan Arsenal dan itulah situasinya.

“Kami bekerja dengan masalah yang kami hadapi, kami berusaha memperbaiki kesilapan, kami bekerja untuk mengukuhkan kekuatan. Itulah yang kami lakukan sepanjang masa selepas kami pulih daripada perlawanan terakhir.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 10:45 AM